Logo

SARAWAK KINI NEGERI PALING RAMAI CEIO


02-07-2024

2 JULAI, KUCHING - Telah berlangsung Majlis Perasmian Penutup Program Seminar Kelestarian Integriti: Integritiku, Imejku & Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 38 Bilangan 2 Tahun 2024 bertempat di Waterfront Hotel.

Dalam ucapannya, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), TPj Saiful Ezral Arifin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) yang telah memberikan sokongan padu terhadap inisiatif pengukuhan integriti oleh SPRM.

Menurut beliau, "Sehingga Jun 2024, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah melatih dan mentauliahkan seramai 2,265 CeIO dalam program CeIO Sektor Awam, Swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)."

"Negeri Sarawak pula merupakan negeri dengan bilangan CeIO paling ramai iaitu berjumlah 198 orang, setelah berjaya menganjurkan empat siri program CeIO secara in-house dari tahun 2019 hingga kini.", katanya lagi.

Yang Berhormat Dato' Murshid Diraja Datuk Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) turut hadir untuk merasmikan majlis tersebut. 

Sebelum itu, pada sebelah pagi telah diadakan program berkonsepkan seminar yang menampilkan tiga orang penceramah iaitu Ustazah Wan Najmah Wan Mohamad Ali dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan topik "Nilai-nilai Murni: Benteng Rasuah"; Puan Munah Abdul Aziz dari Institut Integriti Malaysia dengan topik "Skala Integriti Diri: Antara Etika Kerja, Amanah & Budaya "Yes Bos"; dan Dr. Nasriman Abdul Rahman dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan topik "Gen Z: Menyelusuri Ranjau Abad ke-21".

Pada sebelah petang pula, satu forum bertajuk "Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Bersediakah Penjawat Awam?" telah diadakan dengan mengetengahkan Tuan Haji Mohamad Gunawan Che Ab. Aziz, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), SPRM dan Datu Ir. Tuan Haji Zuraimi Sabki, Timbalan Penasihat Pejabat Premier Sarawak.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Tuan Wan Mohamad Wan Drahman, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) dan KPKPj Hasbilah Mohamad Salleh, Pengarah SPRM Negeri Sarawak.