MACA PERKASA KEUPAYAAN PERISIKAN MELALUI PEMBANGUNAN MODUL CORRUPTION CRIME ANALYST
10-11-2026
Kuala Lumpur, 5 November – Sekolah Perisikan dan Pengesanan (SPr), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menganjurkan Bengkel Pembangunan Modul Corruption Crime Analyst (CCA) bertempat di Dewan Kuliah Sabah, MACA, semalam.
Bengkel yang dirasmikan oleh Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin ini disertai 25 pegawai SPRM Gred P29 hingga P54 daripada Sektor Operasi.
Penganjuran bengkel ini bertujuan membangunkan struktur modul latihan perisikan yang lebih sistematik dan berasaskan kompetensi bagi memperkukuh keupayaan analisis perisikan dalam kalangan pegawai SPRM.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa pemantapan keupayaan perisikan bukan sekadar agenda akademik, sebaliknya merupakan satu keperluan strategik bagi memastikan SPRM terus berdaya tahan dan berupaya menghadapi cabaran jenayah rasuah yang semakin kompleks.
Menurut beliau, cabaran utama dalam dunia perisikan masa kini bukan lagi kekurangan maklumat, tetapi lambakan data mentah (big data) yang memerlukan kepakaran khusus untuk diproses, dianalisis dan dihubungkan bagi menghasilkan maklumat risikan yang bernilai.
Sehubungan itu, peranan Corruption Crime Analyst (CCA) amat penting sebagai jambatan analitikal yang berupaya menghubungkan pelbagai sumber maklumat, termasuk rekod perbankan, data telekomunikasi, pemfailan korporat dan risikan lapangan. Analisis tersebut seterusnya dapat diterjemahkan kepada peta analisis yang jelas, tepat dan bersasar bagi menyokong tindakan siasatan lanjut, khususnya pada peringkat prasiasatan (pre-investigation).
Antara fokus utama bengkel ialah pengukuhan keupayaan teknikal perisikan melalui pembangunan sistem penyamaran (undercover system) yang lebih sistematik, termasuk protokol pendaftaran, ganjaran dan pelan tindakan sekiranya penyamaran terbongkar. Perbincangan turut merangkumi pemantapan analisis pintasan maklumat (wiretapping), keupayaan digital, analitik data (data analytics), kecerdasan buatan (AI) dan risikan kewangan (financial intelligence).
Selain itu, bengkel turut memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan Perisikan Pasaran Modal (Capital Market Intelligence), khususnya analisis transaksi saham (share transaction), pengambilalihan syarikat tersenarai (listed company takeover) dan transaksi pihak berkaitan (related party transaction). Keupayaan ini penting bagi menghasilkan laporan perisikan serta carta perhubungan (link chart) yang lebih komprehensif dan berimpak tinggi.
Aspek pembangunan kemahiran insaniah turut diberi perhatian melalui pemantapan keupayaan pegawai dalam merangka strategi (strategize), mempengaruhi dan meyakinkan pihak berkepentingan (convince) serta membina jaringan profesional (networking). Bengkel ini turut mengetengahkan perancangan pendedahan antarabangsa (international attachment) kepada pegawai berpotensi bersama agensi perisikan luar negara.
Bengkel ini turut dilengkapi dengan sesi perkongsian amalan terbaik antarabangsa bersama rakan strategik daripada Federal Bureau of Investigation (FBI) dan International Anti-Corruption Coordination Center (IACCC).
Penganjuran bengkel ini diharap dapat menjadi asas kepada pembangunan modul CCA yang lebih tersusun dan berteraskan kompetensi, sekali gus melahirkan pegawai perisikan yang berkemahiran tinggi, analitikal dan berupaya menterjemahkan data kepada maklumat risikan yang berkualiti bagi memperkukuh keberkesanan operasi serta siasatan SPRM.
#maca
#SPRMMalaysia
#BeraniDanRadikalPerangiRasuah