Logo

MEMPERKASA INTEGRITI DAN AKAUNTABILITI KESELAMATAN SEMPADAN NEGARA, TANGGUNGJAWAB BERSAMA


09-10-2024

7 OKTOBER, KOTA BHARU - Bagi melengkapkan program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 40 Bilangan 4 Tahun 2024 - Kementerian Dalam Negeri (KDN), peserta CeIO telah menganjurkan Seminar Kelestarian Integriti (SKI) bertempat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) FAMA Negeri Kelantan sebagai kesinambungan kepada Integrity Enhancing Project (EIP) di Kolej Kemahiran Tinggi MARA pada Sabtu lalu.

Pengisian utama SKI kali ini adalah forum dengan tajuk "Sempadan Negara: Memperkasa Integriti dan Akauntabiliti Keselamatan" yang membariskan tiga panel iaitu YBhg. CP Dato' Sri Hazani Ghazzali; YBhg. Dato' Hj. Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional dan Dr. Hasan Mohamed Ali, Pengerusi Eksekutif Yayasan Husnul Khotimah. Para panel telah mengupas isu mengenai sempadan negara dengan menekankan aspek tanggungjawab dan nilai integriti dalam setiap individu terutamanya agensi penguatkuasaan, masyarakat dan juga pelajar-pelajar yang merupakan generasi muda yang bakal menerajui negara kita pada masa hadapan.

Dalam ucapan aluan pada Majlis Perasmian Penutup SKI, Yang Berusaha KPKPj Sofian Haroon, Timbalan Pengarah (Pengurusan dan Korporat) Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), mewakili Pengarah MACA menyatakan bahawa perkongsian pandangan oleh ahli panel forum pada hari ini telah berjaya mengupas isu-isu berkaitan keselamatan di sempadan serta langkah-langkah bagi memperkasa integriti agensi penguatkuasa yang berkhidmat di sempadan negara.

"Tanggungjawab untuk membudayakan dan meningkatkan tahap integriti bukan hanya terletak di bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata, sebaliknya ianya memerlukan komitmen semua pihak terutamanya agensi penguatkuasa di sempadan juga."

Majlis Perasmian Penutup SKI tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. CP Dato' Sri Hazani Ghazzali, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia.

Hadir sama ialah YBrs. KPKPj Zulkefle bin Abd Hamid, Ketua Unit Integriti, Kementerian Dalam Negeri (KDN).