Logo

SPRM, NTU LAHIR GRADUAN ANTIRASUAH BERTARAF GLOBAL


16-06-2025

SPRM, NTU LAHIR GRADUAN ANTIRASUAH BERTARAF GLOBAL

Bangi, 12 Jun – Kolaborasi erat antara Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Nottingham Trent University (NTU), United Kingdom (UK) telah berjaya melahirkan graduan antirasuah bertaraf global.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, graduan terbabit bukan sahaja cemerlang dalam kemahiran teknologi dan perundangan tetapi juga berteraskan nilai integriti dan kepimpinan beretika.

“Secara tidak langsung, program ini telah menjadikan graduan kami lebih bersedia menghadapi cabaran penguatkuasaan pada masa kini.

“Semua pemegang taruh diseru untuk terus menyokong usaha antirasuah dan ia bukan sahaja melalui operasi penguatkuasaan malah turut meliputi pendidikan, penyelidikan, pembangunan polisi dan pendekatan teknologi yang komprehensif.

“Kami di SPRM yakin keberkesanan usaha pencegahan rasuah bermula dari rumah, sekolah dan berterusan ke institusi pengajian tinggi,” kata ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM kali ke-2 Tahun 2025 di Bangi Avenue Convention Centre di sini, hari ini.

Seramai 210 graduan terdiri daripada pegawai SPRM telah menerima sijil tamat pengajian program pengajian berakreditasi khusus anjuran MACA SPRM menerusi kerjasama dengan NTU, UK.

Sejak 2017 hingga ke hari ini, seramai 517 pegawai SPRM telah menerima akreditasi dari dua program berprestij yang dilaksanakan bersama NTU, iaitu Postgraduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership (Level 7) dan Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Studies (Level 5).

Pada majlis itu, Tan Sri Azam turut menyampaikan anugerah kepada tiga graduan yang telah berjaya mencatatkan keputusan tertinggi dalam akademik iaitu Ps Tengku Nur Diyana Syamimi Tengku Zolnurin dan PPs Nor Hazira Mohamad Hasri manakala PPs Nurarina Yuslynda Usuf telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Terbaik.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato’ Azmi Kamaruzaman; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato' Indera Junipah Wandi; Executive Dean of the School of Social Sciences NTU, UK, Profesor Daragh McDermott; Principal Lecturer In Policing And International Law Enforcement School Of Social Sciences NTU, UK, Phil Rudkin; Penasihat Akademik SPRM, Profesor Datuk Dr Kassim Noor Mohamed; Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohd Hafaz Nazar, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.

#SPRMMalaysia

#RasuahDihinaMaruahDibina

#taatsetia