MACA WAKILI MALAYSIA DI WORLD ANTI-CORRUPTION CONFERENCE (WACC) 2025 DI OXFORD
07-11-2025
Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) terus memperkukuh kehadiran Malaysia di pentas antarabangsa apabila menghantar pegawainya, P/PKPj Dr. Hairuzzaki Mohd Yusof, sebagai salah seorang panel dalam World Anti-Corruption Conference (WACC) 2025 yang berlangsung di Rhodes House, University of Oxford pada 24 Oktober 2025.
Dr. Hairuzzaki menyertai Sesi 1: “Corporate Integrity in Global Marketplace: Compliance Challenges and Strategies Across the Globe”, bersama Dr. Musa Adamu Aliyu, Pengerusi Suruhanjaya Bebas Amalan Rasuah (ICPC) Nigeria, dan Mr. Yousuf Jhugroo, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Compliance & Risk Management Consulting, United Kingdom.
Sesi ini dikendalikan oleh Mr. Collin Mayer, CBE, Profesor Emeritus di Blavatnik School of Government dan Said Business School, University of Oxford.
WACC merupakan platform global tahunan yang menghimpunkan pemimpin dan pakar dalam bidang antirasuah, governans, kewartawanan, dan undang-undang dari seluruh dunia bagi membincangkan cabaran serta strategi memupuk integriti dan akauntabiliti dalam tadbir urus global.
Persidangan berprestij ini dianjurkan oleh International Strategy Institute (ISI), sebuah badan bebas berpusat di Kuala Lumpur yang aktif mempromosikan inisiatif antirasuah dan tadbir urus baik di peringkat antarabangsa.
Dato’ Sri Shamsun Baharin bin Mohd Jamil, Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), telah merasmikan pembukaan WACC 2025 yang turut disertai wakil kanan daripada agensi antirasuah dan penguatkuasaan seluruh dunia.
Penyertaan MACA dalam WACC 2025 mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa dan mempromosikan nilai integriti di peringkat global.
#MACAMACC
#sprmmalaysia
#RasuahDihinaMaruahDibina