38 PEGAWAI INTEGRITI PETRONAS TAMAT PROGRAM CEIO
06-03-2026
Kuala Lumpur, 6 Mac 2026 – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melalui Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC) telah berjaya menyempurnakan Program Pegawai Integriti Bertauliah Sektor Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) Siri 16 Bil. 3 Tahun 2026 – PETRONAS Bhd bertempat di Petronas Leadership Centre (PLC), Bangi, di sini semalam.
Program in-house yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik PETRONAS ini telah berlangsung selama sebulan bermula pada 4 Februari sehingga 5 Mac 2026. Seramai 38 orang peserta yang terdiri daripada pegawai yang melaksanakan fungsi integriti di PETRONAS serta anak-anak syarikatnya telah menyertai program intensif ini.
Sepanjang tempoh program, para peserta telah didedahkan dengan modul pembelajaran komprehensif, simulasi kes, serta perkongsian pengalaman daripada pengamal Unit Integriti dan Governans (IGU). Fokus utama latihan merangkumi fungsi teras iaitu Pengurusan Aduan, Pengesanan dan Pengesahan, Pematuhan, Pengukuhan Integriti, Pelan Pengurusan Risiko (CRM) serta Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ketua Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), PKPj R Malarvili Ramachandran bersama wakil tenaga pengajar dari Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM,PPj Ahmad Kamal bin Abdul Rahman.
#macamacc
#SPRMMalaysia
#BeranidanRadikalPerangiRasuah