Logo

144 PEGAWAI KADET KURSUS ASAS PEGAWAI SPRM SIRI 29 MULA MELAPOR DIRI: TEKAD PERKASA INTEGRITI DAN PROFESIONALISME


07-04-2026

NILAI, 2 April – Seramai 144 pegawai kadet bagi Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 29 Bilangan 1/2026 (Penolong Penguasa Gred P5) telah melapor diri di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Bandar Enstek, di sini, semalam.

Sesi pendaftaran yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu menandakan titik permulaan bagi para pegawai kadet yang akan menjalani Kursus Latihan Asas selama hampir 18 bulan.

Program latihan yang komprehensif sebanyak 64 jam kredit ini merangkumi dua komponen utama iaitu Program Akademik dan Program Latihan Asas. Program Akademik melibatkan pembelajaran, manakala Latihan Asas merangkumi modul penilaian jasmani dan fizikal, disiplin serta kemahiran teknikal.

Bagi memberikan gambaran jelas mengenai kerjaya dalam badan pencegahan rasuah, satu taklimat perkhidmatan telah disampaikan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan SPRM, PKPj Dr. Azlan Abd Aziz dan Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM, Mohd Fuad Abdollah bagi bagi sesi penerangan berkaitan urusan kewangan.

Selain itu, MACA turut mengambil inisiatif mengadakan sesi taklimat khusus kepada ibu bapa pegawai kadet yang disampaikan oleh Komandan Pusat Latihan Asas MACA, PKPj Muhammad Hazlisyam Mukhtar bertujuan memberikan kefahaman kepada ahli keluarga mengenai modul latihan serta tuntutan tugas sebagai seorang pegawai SPRM.

Sebagai sebahagian daripada prosedur mandatori bagi memastikan integriti dan kualiti pegawai kadet, sesi taklimat dan ujian urin turut dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan kesemua peserta bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Sementara itu , Pengarah Kanan MACA, Dato' Mohd Hafaz Nazar dalam amanatnya menyeru agar setiap kadet memanfaatkan tempoh latihan dengan sebaiknya melalui persediaan menyeluruh dari aspek mental, fizikal dan intelektual.

“Keseimbangan ini amat kritikal dalam melahirkan pegawai yang bukan sahaja cekap dan tegas dalam melaksanakan amanah, malah berpegang teguh kepada nilai profesionalisme, etika, serta prinsip perkhidmatan awam yang unggul,” tegas beliau.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Timbalan Pengarah Akademik dan Latihan Asas MACA, KPKPj Mohd Saud Ayutollah Abdul Manan;Pegawai-pegawai Kanan MACA dan Pegawai-pegawai Bahagian Khidmat Pengurusan SPRM dan Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM.

#macamacc

#SPRMMalaysia

#BeranidanRadikalPerangiRasuah