MACA DAN DBKL TEROKA KERJASAMA STRATEGIK PERKASA PEMBANGUNAN KEPIMPINAN PENGUAT KUASA
29-07-2026
Kuala Lumpur, 17 Julai – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan SPRM (Malaysia Leadership Excellence Centre – MLEC) telah mengadakan sesi perbincangan bersama Jabatan Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 17 Julai 2026 bagi meneroka kerjasama strategik dalam pembangunan dan pelaksanaan kursus kepimpinan yang komprehensif untuk pegawai penguat kuasa DBKL.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan modul latihan yang bersesuaian dengan keperluan organisasi, di samping memperkukuh kompetensi kepimpinan, profesionalisme serta keupayaan pegawai penguat kuasa dalam mendepani cabaran penguatkuasaan yang semakin dinamik.
Dalam sesi tersebut, MLEC telah meneliti objektif, keperluan dan cadangan kandungan kursus yang dikemukakan oleh pihak DBKL sebagai asas kepada pembangunan modul latihan yang lebih komprehensif, praktikal dan berimpak. Hasil perbincangan awal turut mengenal pasti beberapa aspek yang memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan kandungan kursus yang dibangunkan memenuhi keperluan semasa serta aspirasi kedua-dua organisasi.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MACA dalam memperluaskan kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan melalui pembangunan program latihan berkualiti tinggi yang berteraskan integriti, kepimpinan dan profesionalisme. Kerjasama ini dijangka menyumbang kepada pembangunan modal insan yang lebih kompeten, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan penguatkuasaan yang berkesan, berintegriti dan berorientasikan kecemerlangan.