Logo

PROGRAM CEIO SEKTOR SYARIKAT BERKEPENTINGAN KERAJAAN (SBK) LAHIRKAN PEGAWAI INTEGRITI BERKOMPETENSI TINGGI


29-07-2026

 Program Pegawai Integriti Bertauliah (Certified Integrity Officer – CeIO) Sektor Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) Siri 15 Bil. 2/2026 yang menghimpunkan 50 pegawai integriti daripada pelbagai Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) telah melabuhkan tirainya disini, semalam.

Majlis penutup dan penyampaian sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Ketua Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), PKPj R. Malarvili a/p Ramachandran, di Dewan Tun Ismail, MACA.

Program CeIO merupakan program pembangunan profesional yang dirangka bagi melahirkan pegawai integriti yang kompeten, berwibawa dan berkeupayaan menerajui agenda integriti serta tadbir urus di organisasi masing-masing. 

Sepanjang program, para peserta telah didedahkan kepada pelbagai modul komprehensif yang merangkumi aspek pengurusan integriti organisasi, tadbir urus korporat, pengurusan risiko rasuah, pematuhan, etika, pengurusan aduan, pengendalian siasatan dalaman, pembangunan budaya integriti serta pelaksanaan Pelan Organisational Anti-Corruption Plan (OACP) . 

Pendekatan pembelajaran yang menggabungkan kuliah, perbincangan kes, latihan amali dan tugasan individu telah memberi nilai tambah kepada peserta dalam mengaplikasikan ilmu yang diperoleh di organisasi masing-masing.

Penganjuran Program CeIO ini membuktikan komitmen berterusan SPRM melalui MACA dalam melahirkan pemimpin integriti yang profesional, beretika dan berkompetensi tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Pegawai integriti diharap terus memainkan peranan sebagai rakan strategik organisasi dalam memperkukuh sistem tadbir urus, memperkasa pengurusan risiko rasuah dan membudayakan integriti secara menyeluruh demi meningkatkan keyakinan rakyat serta pihak berkepentingan terhadap penyampaian perkhidmatan sektor awam dan korporat.