Logo

MACA PERKUKUH KERJASAMA ANTARABANGSA MELALUI BENGKEL PEMULIHAN ASET


05-11-2026

Kuala Lumpur, 3 November – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menganjurkan Bengkel Pemulihan Aset 2026 selama empat hari bermula 2 hingga 5 November 2026, dengan penyertaan delegasi dari lapan negara anggota ASEAN iaitu Myanmar, Indonesia, Brunei Darussalam, Republik Demokratik Rakyat Lao, Kemboja, Thailand, Timor-Leste dan Filipina, selain Mauritius.

Program ini turut disertai wakil pelbagai agensi penguatkuasaan dan kawal selia dalam negara, antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah tidak seharusnya terhenti pada peringkat penyiasatan dan pendakwaan semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan tindakan mengenal pasti, mengesan, membekukan, menyita, melucut hak serta memulihkan aset yang diperoleh daripada kegiatan rasuah dan jenayah kewangan.

Menurut beliau, pemulihan aset merupakan elemen penting dalam memastikan hasil kegiatan jenayah tidak terus dinikmati oleh pihak yang terlibat, selain membantu mengembalikan sumber awam, menegakkan kedaulatan undang-undang dan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Pemulihan Aset 2026 yang berlangsung di Hotel Grand Mercure Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan pemulihan aset kini berdepan cabaran yang semakin kompleks, khususnya melibatkan pelbagai bidang kuasa, transaksi kewangan rentas sempadan, struktur korporat yang rumit serta penggunaan mata wang kripto dan aset maya.

Sehubungan itu, agensi penguatkuasaan perlu terus memperkukuh kepakaran teknikal, kefahaman perundangan dan keupayaan penyiasatan bagi menangani cabaran tersebut, selain meningkatkan mekanisme kerjasama antarabangsa.

Sepanjang bengkel, peserta berpeluang mendalami pelbagai aspek berkaitan pemulihan aset, termasuk penyitaan, pelucuthakan dan pengurusan aset, kerangka serta mekanisme perundangan antarabangsa, pemulihan aset berkaitan mata wang kripto dan aset maya, selain kepentingan strategik pemulihan aset dalam memerangi rasuah dan jenayah kewangan.

Penganjuran bengkel ini turut menyediakan platform kepada peserta untuk berkongsi pengalaman, pendekatan dan amalan terbaik dari negara masing-masing, di samping membina rangkaian profesional serta mengenal pasti peluang kerjasama dalam menangani kes yang melibatkan pemindahan aset merentas sempadan.

MACA berharap penganjuran program ini dapat menyumbang kepada peningkatan keupayaan profesional dan institusi, selain memperkukuh jaringan kerjasama serantau serta antarabangsa bagi memastikan hasil kegiatan rasuah dan jenayah kewangan dapat dikesan serta dipulihkan secara berkesan.