MACA DAN GIACC TEROKA KOLABORASI STRATEGIK PERKUKUH KOMPETENSI PEGAWAI INTEGRITI DAN PEMBANGUNAN MODUL CEIO
27-11-2026
20 November – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan kompetensi Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) menerusi sesi libat urus strategik bersama Global Integrated Anti-Corruption Consultancy Sdn Bhd (GIACC) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, MACA.
Delegasi MACA diketuai oleh Pengarah Kanan MACA, Dato' Pj Mohamad Zamri Zainul Abidin, bersama Timbalan Pengarah Pengurusan dan Korporat MACA, KPKPj Shahrul Nizar Mohd Shariff; Timbalan Pengarah Akademik dan Pusat Latihan Asas MACA, KPKPj Wong Yun Fui serta Ketua-Ketua Pusat MACA. Turut hadir mewakili GIACC ialah Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Dato' Seri Mustafar Ali dan Dato' Rohaizad Yaakoob.
Sesi libat urus ini bertujuan meneroka elemen-elemen bersesuaian dalam modul Certified Integrity Officer (CIO) yang boleh disesuaikan bagi menambah baik kandungan modul Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), khususnya untuk memenuhi keperluan organisasi dalam sektor Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan sektor swasta.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada cabaran sebenar yang dihadapi oleh pegawai integriti dalam organisasi, termasuk aspek mengenal pasti bidang berisiko tinggi (high-risk areas) serta situasi kelabu (grey areas) yang berpotensi membuka ruang kepada perlakuan rasuah, konflik kepentingan dan pelanggaran integriti. Perkongsian pengalaman dan kepakaran GIACC dalam aspek ini dilihat berpotensi membantu MACA memperkukuh kandungan latihan melalui pembangunan kajian kes, simulasi dan latihan praktikal berasaskan situasi sebenar di tempat kerja.
Selaras dengan hala tuju pembangunan Program CeIO, MACA berhasrat melahirkan pegawai integriti yang mempunyai kompetensi hibrid, fleksibel dan berupaya bertindak sebagai pemudah cara. Pendekatan ini menuntut pegawai integriti untuk menyesuaikan kaedah pelaksanaan tugas mengikut situasi serta keperluan organisasi, di samping membantu pihak pengurusan dan warga kerja memahami isu integriti, mengenal pasti risiko serta merangka penyelesaian yang praktikal tanpa mengabaikan prinsip integriti dan pematuhan.
Selain itu, kolaborasi strategik ini turut membuka ruang kepada perkongsian pendekatan dan amalan terbaik dalam memperkukuh keupayaan pegawai integriti membuat pertimbangan serta keputusan yang tepat apabila berhadapan dengan situasi kompleks, khususnya dalam menangani isu yang melibatkan ruang kelabu (grey areas) di tempat kerja.
Perkongsian pengalaman GIACC, termasuk perspektif pembangunan kompetensi pegawai integriti dalam persekitaran organisasi yang berbeza serta amalan di peringkat antarabangsa, turut menjadi input penting kepada aspirasi MACA untuk memperluas pembangunan kompetensi CeIO ke peringkat global.
Melalui sesi libat urus ini, MACA berharap dapat mengenal pasti ruang kerjasama yang berpotensi dilaksanakan bersama GIACC, merangkumi semakan dan penambahbaikan kandungan modul, pembangunan kajian kes serta penglibatan pengamal industri dalam sesi latihan.
Usaha ini diharap dapat melahirkan pegawai integriti yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dalam aspek tadbir urus dan pematuhan, malah berupaya bertindak sebagai rakan strategik organisasi dalam mengenal pasti risiko, memudah cara penyelesaian isu integriti dan membudayakan amalan pencegahan rasuah secara lebih berkesan.