MACA DAN IACA BINCANG KERJASAMA STRATEGIK PENGANJURAN PROGRAM LATIHAN AI
27-11-2026
Kuala Lumpur, 25 November - Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa menerusi sesi lawatan dan perbincangan strategik bersama International Anti-Corruption Academy (IACA) dan Global Integrated Anti-Corruption Consultancy (Malaysia) (GIACC) dan bagi meneroka pembangunan program latihan berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2027.
Sesi tersebut disertai dua wakil IACA, iaitu Ketua Jabatan Latihan dan Pembangunan Kapasiti, Dr. Yoojin Choi dan Penyelaras Jabatan Latihan dan Pembangunan Kapasiti, Tatjana Jankovic.
Perbincangan memberi tumpuan kepada perancangan kerjasama tiga pihak dalam penganjuran program latihan berkaitan AI di MACA. Sehubungan itu, MACA menyatakan kesediaan untuk menyokong pelaksanaan program berkenaan, termasuk membantu IACA dari segi penyediaan kemudahan dan fasiliti latihan di MACA sebagai lokasi penganjuran program yang dirancang pada tahun 2027.
Kerjasama strategik ini membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pengalaman dan sumber antara GIACC, IACA dan MACA, khususnya dalam memperluas pengetahuan serta meningkatkan kompetensi peserta berkaitan aplikasi AI dalam tadbir urus, integriti dan pencegahan rasuah.
Dalam sesi lawatan tersebut, delegasi IACA turut dibawa meninjau beberapa kemudahan dan fasiliti latihan MACA, antaranya Dewan Kuliah Putrajaya, Dewan Tun Ismail, Makmal Komputer dan kafeteria. Lawatan ini bertujuan memberi gambaran menyeluruh kepada delegasi mengenai kemudahan serta prasarana yang dimiliki MACA dan kesediaannya untuk menyokong pelaksanaan program latihan bersama yang dirancang pada tahun 2027.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen MACA untuk terus bergerak seiring perkembangan teknologi digital serta memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan latihan antirasuah yang berupaya menyokong pelaksanaan program berimpak tinggi melalui jaringan kerjasama antarabangsa