MACA ZAHIR PENCAPAIAN CEMERLANG SEPANJANG TAHUN 2018
24-11-2020
5 November 2018 – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah mengadakan Mesyuarat Pembentangan Prestasi Pencapaian KPI MACA 2018, Mesyuarat Penetapan KPI Tahun 2019, Mesyuarat Pengurusan MACA serta Perhimpunan dan Mesyuarat Suku ke-4 MACA Tahun 2018 di Amverton Heritage Resort, Ayer Keroh, Melaka pada 2 hingga 4 November 2018.
Program mesyuarat tersebut melibatkan penyertaan seramai 70 orang pegawai dan kakitangan MACA bagi bersama-sama membincangkan fokus dan hala tuju MACA untuk tahun 2019.
Dalam ucapan perasmiannya, Pengarah MACA, YBhg. Dato’ Hj. Idris Bin Zaharudin mengucapkan syukur, tahniah dan terima kasih di atas kesepakatan dan kerjasama yang dipamerkan oleh semua warga MACA sepanjang keberadaan beliau di MACA. Tanpa warga MACA, beliau tidak mungkin mampu bergerak sendirian untuk mencapai hasrat dan wawasan yang direncanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tambah beliau lagi, pencapaian MACA dalam merealisasikan beberapa agenda utama SPRM seperti pengambilan baru pegawai kadet SPRM sesi Pengajian Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Studies, Cohort 1 / 2018 (pegawai gred P29), memperolehi akreditasi Quality Assurance Agency For Higher Education (QAA) United Kingdom bagi Program Post Graduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership Level 7 (pegawai gred P41) serta penganjuran julung kalinya Seminar “Gearing Up For Corporate Liability” oleh MACA melibatkan penyertaan seramai hampir 300 peserta dari sektor swasta dan korporat dan kejayaan pelaksanaan Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-7 pada 1 November 2018 benar-benar menjulang nama MACA.
Menurut beliau lagi, masih terdapat ruang dalam merancang dan melaksanakan program-program anjuran MACA bagi mencapai tahap kesempurnaan yang diharapkan. “Sesungguhnya, kita hanya mampu merancang yang terbaik namun hanya tuhan sahaja yang mampu menjadikan setiap perancangan tersebut sebagai suatu kenyataan atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, sebarang kelemahan dan kekhilafan yang telah kita lakukan dalam program-program MACA sepanjang tahun 2018 boleh dijadikan sempadan untuk kita belajar menghasilkan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang”, ujar beliau.
Kelab Kebajikan dan Rekreasi MACA turut mengambil kesempatan untuk menganjurkan Majlis Makan Malam bertemakan “The Man In Black and The Green Lady With Shades” pada sebelah malamnya bagi meraikan seluruh warga MACA yang hadir ke program mesyuarat tersebut.