MACA, ICPC NIGERIA KONGSI STRATEGI LATIHAN ANTIRASUAH
19-10-2026
MACA, ICPC NIGERIA KONGSI STRATEGI LATIHAN ANTIRASUAH
Kuala Lumpur, 1 Oktober– Lawatan penandaarasan Independent Corrupt Practices and Other Related Offences Commission (ICPC) Nigeria ke Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menjadi platform strategik bagi memperkukuh hubungan profesional serta meneroka ruang kerjasama dalam bidang latihan dan pembangunan kompetensi antirasuah.
Penolong Pengarah Pengurusan dan Korporat MACA, KPKPj Shahrul Nizar Mohd Shariff berkata, pertukaran pengalaman dan perkongsian amalan berkaitan strategi menangani cabaran semasa memberi nilai tambah kepada kedua-dua institusi.
“Melalui sesi penandaarasan ini, kedua-dua pihak berpeluang berkongsi pengalaman dan pendekatan dalam pelaksanaan latihan antirasuah, di samping mengenal pasti ruang penambahbaikan yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua institusi,” katanya ketika menerima kunjungan delegasi ICPC Nigeria di MACA, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi ICPC Nigeria, Dr. Musa Adamu Aliyu menyambut baik usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama MACA, khususnya melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam bidang pencegahan rasuah.
Menurut beliau, ICPC merupakan agensi utama Nigeria yang bertanggungjawab dalam aspek penyiasatan, pendakwaan dan pencegahan rasuah dalam institusi awam.
“ICPC ditubuhkan khusus bagi menangani gejala rasuah yang berleluasa di negara berkenaan, yang dikenal pasti sebagai antara halangan utama kepada pembangunan sosioekonomi Nigeria,” katanya.
Lawatan penandaarasan ini diharap dapat memperluas jaringan kerjasama antarabangsa MACA serta memperkukuh peranan institusi dalam perkongsian pengetahuan, pengalaman dan strategi latihan bagi menyokong usaha pencegahan rasuah secara lebih berkesan.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Akademik dan Latihan Asas MACA, KPKPj Wong Yun Fui; Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, PPj Asrulnaim Abdullah; PKPs Mohd Arra'uf bin Mohd Adni serta pegawai-pegawai kanan MACA.
#maca
#SPRMMalaysia
#BeraniDanRadikalPerangiRasuah