MACA, ACEIO PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK
19-10-2026
MACA, ACeIO PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK
Kuala Lumpur, 14 September – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menerima kunjungan hormat delegasi Association of Certified Integrity Officer (ACeIO) yang diketuai Pengerusinya, Dato’ Ahmad Sabri Mohamed, di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), MACA, hari ini.
Delegasi ACeIO disambut oleh Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin, bersama pegawai kanan MACA, manakala kunjungan tersebut turut disertai barisan Ahli Jawatankuasa ACeIO.
Kunjungan ini menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan serta meneroka peluang kerjasama strategik, khususnya dalam pembangunan profesionalisme, perkongsian ilmu, peningkatan kompetensi dan pengukuhan amalan integriti dalam organisasi.
Dato’ Mohamad Zamri berharap ACeIO terus memainkan peranan sebagai rakan strategik MACA dalam memperkasa komuniti pegawai integriti melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik, di samping memperluas jaringan kerjasama dalam pembangunan kompetensi serta profesionalisme.
Dalam perbincangan tersebut, MACA dan ACeIO turut meneroka cadangan memperkenalkan sistem merit sebagai mekanisme pengiktirafan terhadap sumbangan dan pembangunan profesional CeIO, dengan mengambil inspirasi daripada amalan badan profesional seperti ACCA dan badan profesional yang bersesuaian.
Cadangan berkenaan dilihat berpotensi mewujudkan laluan pembangunan dan kerjaya profesional CeIO yang lebih jelas, tersusun dan berstruktur, di samping menggalakkan penglibatan aktif CeIO dalam pembangunan kompetensi serta ekosistem integriti negara.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pendekatan memanfaatkan kepakaran dan jaringan ahli ACeIO (leverage on ACeIO) secara strategik melalui penglibatan sebagai tenaga pengajar, fasilitator, panel, pakar bidang (subject matter expert), moderator dan penasihat dalam program anjuran MACA yang melibatkan sektor awam, swasta serta komuniti profesional.
Kerjasama strategik ini turut membuka ruang kepada penerokaan program berskala besar pada tahun 2027 yang memberi penekanan kepada aspek Integriti, Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) dengan potensi penyertaan di peringkat nasional dan, sekiranya bersesuaian, antarabangsa.
Dalam kunjungan tersebut, turut diadakan perasmian dan pelancaran Portal ACeIO, diikuti sesi menandatangani buku pelawat serta sesi fotografi.
#maca
#SPRMMalaysia
#BeraniDanRadikalPerangiRasuah See less