Logo

PROGRAM PEGAWAI INTEGRITI BERTAULIAH (CEIO) SEKTOR SWASTA SIRI 14 BIL.1/2026


19-10-2026

PROGRAM PEGAWAI INTEGRITI BERTAULIAH (CeIO) SEKTOR SWASTA SIRI 14 BIL.1/2026

Kuala Lumpur, 28 September – Seramai 38 orang peserta terdiri daripada Pegawai Integriti serta Ketua Unit Integriti dan Governans daripada pelbagai Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan sektor swasta telah menyertai Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang dilaksanakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur.

Program yang berlangsung selama 12 hari bermula 7 hingga 24 September 2026 itu memberi pendedahan kepada peserta menerusi empat modul utama, iaitu Pengenalan kepada Prinsip Integriti dan Perundangan; Pengurusan Aduan dan Pengesanan & Pengesahan; Strategi Pencegahan melalui Pematuhan, Pengukuhan Integriti dan Governans; serta Kawalan Dalaman dan Pembangunan Pelan Antirasuah.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan dan Korporat MACA KPKPj Shahrul Nizar Shariff di Dewan Kuliah Sarawak, MACA. 

Pelaksanaan Program CeIO pada tahun ini adalah berdasarkan Arahan YAB Perdana Menteri Siri 3 Bil. 1 Tahun 2026 – Pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang telah diluluskan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai 2026.

Dalam amanatnya, KPKPj Shahrul Nizar menyeru para peserta supaya memainkan peranan sebagai penasihat kepada pihak pengurusan organisasi masing-masing dalam memperkukuh aspek integriti dan tatakelola.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta atas kejayaan menamatkan program serta mengingatkan peserta untuk menyempurnakan tugasan yang ditetapkan sebagai sebahagian daripada proses pertimbangan pentauliahan sebagai CeIO oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB).

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen MACA dalam memperkasa kompetensi pegawai integriti serta memperkukuh peranan mereka sebagai pemangkin kepada pengukuhan integriti, governans dan tatakelola dalam organisasi masing-masing.

#maca

#SPRMMalaysia

#BeraniDanRadikalPerangiRasuah