Logo

PERSIDANGAN MEJA BULAT (ROUND TABLE DISCUSSION - RTD) BERSAMA MONASH UNIVERSITY MALAYSIA: MENEROKA POTENSI KECERDASAN BUATAN (AI) DALAM MEMPERKUKUH TADBIR URUS DAN PENCEGAHAN RASUAH


03-07-2026

Kuala Lumpur, 22 Jun – Seramai 24 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terdiri daripada Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Bahagian Siasatan, Bahagian Perisikan, Bahagian Pendidikan Masyarakat (PENMAS), Bahagian Penyiasatan Tatakelola, Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) serta Bahagian Analisis Kewangan telah menghadiri sesi Persidangan Meja Bulat (Round Table Discussion - RTD) yang berlangsung pada 18 Jun 2026 di Monash University Malaysia.

Delegasi SPRM diketuai oleh Ketua Pusat Perancangan, Penyelidikan dan Korporat (PRCC) MACA, PKPj Dr. Hairuzzaki Mohd Yusof, yang turut bertindak sebagai urus setia dalam menjayakan kerjasama strategik antara SPRM, MACA dan Monash University Malaysia.

Sesi perbincangan ini memberi fokus kepada perkembangan semasa teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) serta implikasinya terhadap sektor awam dan bidang penguatkuasaan.

Antara perkara yang turut dibincangkan ialah potensi penggunaan AI dalam memperkukuh usaha pencegahan dan pembanterasan rasuah melalui integrasi teknologi dalam analisis data, pengesanan corak serta sokongan kepada proses membuat keputusan.

Sesi tersebut juga mengupas cabaran tadbir urus AI yang merangkumi aspek etika, ketelusan, akauntabiliti dan perlindungan hak individu, di samping meneliti keperluan pewujudan kerangka perundangan dan dasar yang bersesuaian bagi memastikan penggunaan AI di Malaysia dilaksanakan secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.

Selain itu, perbincangan turut menekankan aspek kesiapsiagaan organisasi dalam menghadapi perkembangan teknologi baharu termasuk Quantum AI serta kepentingan pembangunan modal insan melalui peningkatan kemahiran digital dan literasi AI dalam kalangan pegawai sektor awam.

Sesi Persidangan Meja Bulat (Round Table Discussion - RTD) ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam meneroka teknologi baharu selain meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, pembangunan kapasiti dan perkongsian kepakaran antara SPRM, MACA dan institusi pengajian tinggi.

Hadir sama daripada Monash University Malaysia ialah Ketua Sekolah Perniagaan dan Pemangku Ketua Jabatan Perniagaan, Undang-Undang dan Percukaian (BLT), Profesor Dr. Nafis Alam; Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan, Profesor Dato’ Dr. Ir. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan, Undang-Undang dan Percukaian, Sekolah Perniagaan, Dr. Chithra Latha Ramalingam. 

#macamacc

#SPRMMalaysia

#BeraniDanRadikalPerangiRasuah

#MonashUniversityMalaysia