EXECUTIVE LEADERSHIP TRAINING ON ANTI-CORRUPTION PROGRAMME 2026
03-07-2026
Kuala Lumpur, 26 Jun – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dengan kerjasama Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) telah menganjurkan Executive Leadership Training on Anti-Corruption Programme 2026 yang berlangsung pada 17 hingga 26 Jun 2026 di Grand Mercure Hotel Kuala Lumpur.
Program tersebut menghimpunkan 14 peserta dari 14 buah negara yang mewakili agensi antirasuah, penguatkuasaan dan institusi tadbir urus bagi memperkukuh kompetensi kepimpinan serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam aspek pencegahan, pengesanan, penyiasatan dan pembanterasan rasuah di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai sesi ceramah dan perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh pakar serta pegawai berpengalaman SPRM merangkumi topik penyiasatan berprofil tinggi, jenayah siber dan mata wang kripto, risikan, kecerdasan buatan (AI), forensik digital, analisis kewangan, liabiliti korporat, kerjasama antarabangsa dalam pemulihan aset serta perundangan antirasuah.
Peserta turut mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Luar Negeri bagi memperoleh pendedahan mengenai amalan terbaik Malaysia dalam memperkukuh integriti, tadbir urus dan usaha pencegahan rasuah.
Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, usaha memerangi rasuah merupakan satu tanggungjawab berterusan yang memerlukan kepimpinan beretika, institusi yang berintegriti serta kerjasama erat di peringkat antarabangsa.
Beliau turut berharap agar segala ilmu, pengalaman dan jaringan profesional yang terjalin sepanjang program ini dapat dimanfaatkan oleh para peserta dalam memperkukuh usaha pencegahan rasuah serta mempromosikan ketelusan dan tadbir urus yang baik di negara masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Executive Leadership Training on Anti-Corruption Programme 2026 di sini, hari ini.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan MACA dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa, meningkatkan pembangunan kapasiti serta mempromosikan amalan tadbir urus yang baik dan budaya integriti ke arah memperkasakan agenda global dalam memerangi rasuah.
#maca
#SPRMMalaysia
#BeraniDanRadikalPerangiRasuah
#taatsetia