BENGKEL GENDER EQUALITY AND WOMEN'S EMPOWERMENT IN ANTI-CORRUPTION PERKUKUH USAHA PENCEGAHAN RASUAH
03-07-2026
Kuala Lumpur, 1 Julai – Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato' Mohamad Zamri Zainul Abidin telah diberi penghormatan oleh Australian Federal Police (AFP) di Malaysia untuk menyampaikan ucapan pembukaan dan taklimat sempena Bengkel Gender Equality and Women's Empowerment in Anti-Corruption yang berlangsung di EQ Hotel, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, beliau berkata rasuah merupakan cabaran yang menjejaskan kepercayaan masyarakat, melemahkan institusi serta menghalang pembangunan mampan. Justeru, usaha membanteras rasuah perlu dilaksanakan secara inklusif bagi memastikan sistem tadbir urus yang berintegriti dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat tanpa mengira jantina.
Pada masa yang sama beliau turut menyampaikan taklimat bertemakan "Gender Dynamics and Corruption: Strengthening Institutions for All" yang menekankan bahawa walaupun rasuah menjejaskan seluruh masyarakat, kesannya sering dirasai secara berbeza oleh setiap kumpulan.
“Tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti merupakan prinsip sejagat yang menjadi asas kepada pembentukan institusi yang berdaya tahan, adil dan bebas rasuah,’’katanya.
Menurut beliau, mekanisme akauntabiliti yang berkesan perlu dilaksanakan secara saksama bagi memenuhi keperluan seluruh lapisan masyarakat, disokong oleh institusi pengawasan yang kukuh, badan kehakiman yang bebas serta sistem audit yang mantap bagi memastikan setiap pihak yang diberi amanah bertanggungjawab terhadap setiap keputusan dan tindakan yang diambil.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan, institusi akademik dan rakan antarabangsa amat penting dalam memperkukuh integriti, tadbir urus serta akauntabiliti.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua peserta memanfaatkan bengkel ini sebagai platform untuk berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan idea baharu dalam memperkasakan usaha pencegahan rasuah.
Pada sebelah petang, Timbalan Pengarah Pengurusan dan Korporat MACA, PKPj R. Malarvili Ramachandran, telah mewakili SPRM sebagai ahli panel dalam sesi perbincangan yang bertajuk "Perspectives on Gender and Anti-Corruption" yang membincangkan pelbagai perspektif berkaitan kesaksamaan jantina dan usaha membanteras rasuah.
Bengkel ini turut menampilkan barisan panel berpengalaman termasuk pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Normah Ishak; Ahli Kriminologi dan Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Junainah M. Kasbolah; Pegawai Kanan Australian Federal Police (AFP) Kuala Lumpur, Nick Moger serta wakil dari Indo-Pacific Economic Framework (IPEF).