MACA DAN USIM TEROKA KERJASAMA STRATEGIK PERKASA PENYELIDIKAN DAN PENERBITAN ILMIAH ANTIRASUAH
03-07-2026
Nilai, 1 Julai – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) terus memperkukuh agenda pembangunan ilmu dan penyelidikan antirasuah melalui kunjungan hormat ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi meneroka kerjasama strategik dalam pembangunan jurnal akademik yang memfokuskan bidang antirasuah, tadbir urus dan integriti.
Delegasi MACA yang diketuai oleh Ketua Pusat Perancangan, Penyelidikan dan Korporat (PRCC), PKPj Dr. Hairuzzaki Mohd Yusof, telah mengadakan sesi perbincangan bersama Dekan Pusat Pengajian Teras (PPT) USIM, Prof. Madya Dr. Zoraida Mustafa, bagi mengenal pasti ruang kolaborasi yang mampu memperkukuh ekosistem penyelidikan serta penerbitan ilmiah.
Perbincangan tersebut memberi penekanan kepada pembangunan platform jurnal akademik yang berupaya menjadi medium perkongsian hasil penyelidikan, amalan terbaik dan penemuan baharu dalam bidang antirasuah, tadbir urus dan integriti.
Inisiatif ini dilihat mampu memperluaskan jaringan kerjasama antara agensi penguatkuasaan dan institusi pengajian tinggi dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang menyokong pembentukan dasar serta amalan tadbir urus yang lebih berkesan.
Sebagai institusi latihan antirasuah, MACA berupaya menyumbang kepakaran melalui pengalaman penguatkuasaan, kajian kes serta penyelidikan antirasuah, manakala USIM menawarkan kekuatan dalam bidang akademik, penyelidikan dan penerbitan ilmiah.
Gabungan kepakaran ini diyakini mampu menghasilkan penyelidikan yang lebih berkualiti, relevan dan memberi manfaat kepada pembangunan dasar serta pengukuhan budaya integriti di negara ini sekali gus menyokong aspirasi negara ke arah Malaysia yang bebas rasuah.
#maca
#SPRMMalaysia
#BeraniDanRadikalPerangiRasuah
#taatsetia