Logo

MACA PERKASA SPRP SEBAGAI PUSAT KECEMERLANGAN PENDIDIKAN ANTIRASUAH


15-10-2026

MACA PERKASA SPRP SEBAGAI PUSAT KECEMERLANGAN PENDIDIKAN ANTIRASUAH

Kuala Lumpur, 14 Ogos – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) memberi tumpuan kepada usaha memperkasa Sekolah Pencegahan Rasuah dan Pengurusan (SPRP) sebagai pusat kecemerlangan pendidikan antirasuah kebangsaan, di samping memperkukuh pelaksanaan Training of Trainers (TOT) Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat strategik yang dipengerusikan oleh Pengarah Kanan MACA, Dato' Mohamad Zamri Zainul Abidin, di Bilik Mesyuarat Utama, MACA, semalam.

Dalam mesyuarat berkenaan, P/PsK Maharidzwan Mahadzir membentangkan cadangan bertajuk “Penambahbaikan Modul KIAR 3.0 dan Pemerkasaan Sekolah Pencegahan Rasuah (SPRP), MACA sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Antirasuah Kebangsaan”.

Cadangan tersebut memberi fokus kepada pengukuhan peranan SPRP dalam agenda pendidikan antirasuah, pembangunan kapasiti tenaga pengajar KIAR, penyediaan bahan rujukan pelajar serta pembangunan sumber pengajaran yang lebih tersusun dan relevan dengan keperluan semasa IPT.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PENMAS) SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail menekankan kepentingan penglibatan berterusan PENMAS dalam setiap sesi libat urus Jawatankuasa Teknikal KIAR bagi memastikan kesinambungan maklumat dan penyelarasan dapat dikekalkan, khususnya sekiranya berlaku pertukaran pegawai di peringkat pengurusan.

Beliau turut menyarankan supaya struktur tadbir urus KIAR diperjelas, termasuk kedudukan Jawatankuasa Teknikal KIAR dalam keseluruhan mekanisme pengurusan dan penyelarasan program berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM, KPKPj Mohamad Tarmizi Abdul Manaf memaklumkan bahawa tadbir urus KIAR ketika ini berpusat kepada Jawatankuasa Teknikal KIAR yang turut dianggotai beliau selaku Timbalan Pengerusi. Sehubungan itu, sebarang cadangan atau perubahan berkaitan KIAR wajar dibincangkan terlebih dahulu melalui Jawatankuasa Teknikal sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk pertimbangan selanjutnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa KIAR di IPT kini telah diangkat sebagai Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) 1, iaitu salah satu mata pelajaran wajib yang perlu dilalui dan diluluskan sebelum seseorang pelajar bergraduasi.

Perkembangan tersebut membuka ruang kepada SPRP untuk memperkukuh peranannya dalam pelaksanaan TOT KIAR, khususnya dalam memperkasa kapasiti tenaga pengajar di IPT.

Antara cadangan yang dikenal pasti ialah penganjuran TOT tambahan kepada pensyarah KIAR di IPT awam dan swasta bagi memperluas akses kepada latihan. Pada masa ini, TOT turut dianjurkan oleh Pusat Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebanyak dua kali setahun, namun kekerapan tersebut dilihat masih boleh dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan pensyarah yang mempunyai komitmen akademik dan jadual pengajaran yang padat.

Mesyuarat turut memberi perhatian kepada keperluan menyediakan bahan rujukan rasmi pelajar, termasuk nota edaran, modul atau buku rujukan KIAR sebagai bahan pembelajaran dan rujukan selepas mengikuti kursus atau kuliah antirasuah.

Selain itu, penyediaan alat bantu mengajar yang bersesuaian turut dicadangkan bagi membantu pensyarah menyampaikan kandungan antirasuah secara lebih berkesan dan menarik kepada mahasiswa.

Bagi memperluas capaian latihan, mesyuarat turut melihat potensi pelaksanaan latihan secara dalam talian sebagai pelengkap kepada latihan bersemuka, khususnya dalam meningkatkan akses pensyarah kepada program TOT KIAR.

Satu lagi cadangan strategik ialah pewujudan Repositori Rasmi Kajian Kes Antirasuah Negara sebagai pusat himpunan kajian kes yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan pengajaran, pembelajaran, latihan, penyelidikan serta pembangunan bahan pendidikan antirasuah.

Dalam pada itu, Dato' Mohamad Zamri Zainul Abidin mencadangkan supaya SPRP, MACA memainkan peranan sebagai Course Provider bagi penganjuran TOT KIAR kepada pensyarah IPT. Peranan tersebut dilihat berpotensi memperluas akses latihan serta memperkukuh kapasiti tenaga pengajar KIAR di seluruh negara.

Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan pegawai SPRP, MACA dalam Jawatankuasa Teknikal KIAR Kebangsaan bagi membolehkan kepakaran, pandangan dan khidmat sokongan MACA disumbangkan secara lebih langsung dalam memperkukuh agenda pendidikan integriti dan antirasuah di peringkat kebangsaan.

Menurut beliau, cadangan yang dibincangkan akan diperincikan melalui saluran tadbir urus KIAR yang bersesuaian, khususnya Jawatankuasa Teknikal KIAR, sebelum dikemukakan kepada pihak berkepentingan untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya.

Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen MACA untuk terus memperkukuh pendidikan pencegahan rasuah melalui pembangunan kapasiti tenaga pengajar, penghasilan bahan pembelajaran berkualiti, perkongsian pengetahuan serta jaringan strategik dengan institusi pendidikan tinggi.

Melalui pemerkasaan SPRP sebagai pusat kecemerlangan pendidikan antirasuah, usaha memperkukuh pelaksanaan KIAR di IPT diharap dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, inklusif dan berimpak, sekali gus menyumbang kepada pembentukan generasi mahasiswa yang berintegriti serta mempunyai kesedaran dan keupayaan untuk menolak rasuah.

Turut hadir Timbalan Pengarah Akademik dan Latihan Asas MACA, KPKPj Wong Yung Fui; Ketua Pusat Kecemerlangan Kepimpinan SPRM (MLEC), PKPj Sarimah Sulaiman; Ketua Sekolah Pencegahan Rasuah dan Pengurusan (SPRP), P/Pj Huzaimi Hashim; Ketua Cawangan Pendidikan PENMAS, Wan Nooraishah Wan Isa; Ketua Seksyen Kokurikulum PENMAS, Haslinda Hamzah, serta PsK Wan Noorulhisyam.

#maca

#SPRMMalaysia

#BeraniDanRadikalPerangiRasuah