MACA DAN LTAT PERKUKUH KOMPETENSI DIGITAL MELALUI HANDSHAKES.AI
15-10-2026
MACA DAN LTAT PERKUKUH KOMPETENSI DIGITAL MELALUI HANDSHAKES.AI
Kuala Lumpur, 18 Ogos – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sentiasa memberi penekanan bahawa usaha pencegahan rasuah dan pemerkasaan integriti tidak hanya bergantung kepada aspek penguatkuasaan, sebaliknya perlu diperkukuh melalui pembangunan kompetensi, penggunaan teknologi yang bersesuaian serta penerapan budaya kerja beretika dalam organisasi.
Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, perkembangan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence - AI) berpotensi menyokong usaha memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti organisasi.
“Dalam konteks integriti, penggunaan teknologi seperti Handshakes.AI dapat membantu proses carian maklumat, profiling, semakan latar belakang dan penilaian risiko secara lebih sistematik, pantas dan berkesan melalui sumber maklumat terbuka yang sah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Pengenalan dan Pensijilan Handshakes.AI di Dewan Kuliah Kedah, MACA, di sini hari ini.
Program yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kerjasama pihak Handshakes.AI menjadi platform perkongsian pengetahuan dan kepakaran berkaitan teknologi serta penyelesaian digital yang semakin relevan dalam memperkukuh keupayaan organisasi menghadapi cabaran era digital.
Program tersebut turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi secara beretika, berhemah dan selaras dengan peraturan serta keperluan organisasi selain membuka ruang kepada penerokaan kerjasama strategik antara LTAT dan MACA dalam bidang pembangunan kompetensi serta inovasi digital pada masa hadapan.
#maca
#SPRMMalaysia
#BeraniDanRadikalPerangiRasuah