Logo

MACA PERKUKUH PERKONGSIAN KEPAKARAN MENANGANI JENAYAH KEWANGAN DI ASIA ANTI-FRAUD LEADERS’ SUMMIT 2026


15-10-2026

MACA PERKUKUH PERKONGSIAN KEPAKARAN MENANGANI JENAYAH KEWANGAN DI ASIA ANTI-FRAUD LEADERS’ SUMMIT 2026

Kuala Lumpur, 18 Ogos – Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin, telah menyampaikan perkongsian utama sebagai salah seorang Keynote Speaker pada 4th Annual Asia Anti-Fraud Leaders’ Summit 2026 yang berlangsung di The Ritz-Carlton, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Program yang berlangsung selama dua hari ini menghimpunkan pakar dan profesional daripada pelbagai agensi serta organisasi dalam bidang pencegahan dan penguatkuasaan jenayah kewangan.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Dato’ Mohamad Zamri mengetengahkan kes 1MDB sebagai satu kajian kes penting dalam memahami kompleksiti jenayah kewangan, khususnya dari aspek tadbir urus, integriti, penguatkuasaan dan pengurusan risiko.

Perkongsian berkenaan turut memberikan perspektif mengenai pengajaran yang boleh diambil daripada kes tersebut dalam memperkukuh mekanisme pencegahan serta pengesanan jenayah kewangan.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara agensi, pembangunan kapasiti, penggunaan teknologi serta kerjasama antarabangsa, khususnya dalam menangani jenayah kewangan yang merentasi sempadan. 

Usaha penjejakan, pembekuan, penyitaan dan pemulihan aset turut dilihat sebagai komponen penting dalam memastikan hasil daripada aktiviti jenayah dapat dikenal pasti dan dikembalikan, di samping memperkukuh keupayaan penguatkuasaan dalam menghadapi modus operandi jenayah kewangan yang semakin kompleks.

Perkongsian dan kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa seperti ini turut menyokong aspirasi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 dalam membentuk ekosistem antirasuah yang lebih berkesan, bersepadu dan mampan, di samping meningkatkan keupayaan negara dalam menangani cabaran jenayah kewangan serta rasuah yang semakin kompleks. 

MACA kekal komited dalam memperkukuh usaha membanteras rasuah serta memperkasa integriti dan tadbir urus melalui pendekatan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan yang berterusan.

#maca

#SPRMMalaysia

#BeraniDanRadikalPerangiRasuah