KURSUS PERKUKUH KEPERCAYAAN PEMBERI MAKLUMAT: DARIPADA DASAR KEPADA AMALAN
16-10-2026
Kuala Lumpur, 4 September– Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dengan kerjasama Hatta Hash Consultancy dan Unit Integriti dan Governans Affin Bank Berhad telah melaksanakan Kursus Memperkukuh Kepercayaan Pemberi Maklumat: Daripada Dasar kepada Amalan Melalui Pembangunan Saluran Pelaporan Pemberi Maklumat dan Prosedur Siasatan Dalaman Organisasi yang memberi fokus kepada pembangunan saluran pelaporan pemberi maklumat kepada pegawai SPRM selaku tenaga pengajar Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).
Kursus yang berlangsung pada 1 dan 2 September 2026 di MACA bertujuan memperkukuh kompetensi tenaga pengajar CeIO dalam menyampaikan pengetahuan berkaitan pembangunan saluran pemberi maklumat yang berkesan. Topik berkenaan merupakan topik baharu dalam Modul Program CeIO yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB).
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada kefahaman berkaitan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), termasuk perkongsian kajian kes mahkamah berkaitan Akta 711 oleh ACP (R) Ts. Dr. Mohd Hakim dari Hatta Hash Consultancy. Pendedahan tersebut turut memberi penekanan kepada keperluan serta kebolehterimaan pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat dalam ruang lingkup kuasa perundangan Akta 711.
Selain itu, Encik Hatta Hashom yang juga dari Hatta Hash Consultancy turut berkongsi pengetahuan berkaitan pembangunan polisi dan saluran pemberi maklumat berdasarkan amalan baik MS ISO 37001:2025 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) dan ISO 37002:2021 Sistem Pengurusan Pemberi Maklumat.
Kedua-dua sesi tersebut memberikan input yang signifikan kepada tenaga pengajar dalam memahami aspek pembangunan, pelaksanaan dan kesesuaian saluran pelaporan pemberi maklumat dalam organisasi.
Sebagai pengisian seterusnya, peserta turut mengikuti sesi penandaarasan pelaksanaan Polisi Saluran Pemberi Maklumat di Affin Bank Berhad yang berlangsung di Tingkat 25, Menara Affin Bank Berhad.
Sesi berkenaan diketuai oleh Ketua Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC) MACA, PKPj R Malarvili Ramachandran, bagi memberikan pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai amalan, pendekatan dan pengurusan saluran pemberi maklumat yang dilaksanakan oleh Affin Bank Group.
Sesi penandaarasan tersebut turut mendapat sokongan dan keterlibatan pengurusan kanan Affin Bank Berhad, antaranya Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan, Datuk Dr. Shukri Ahmad Sudari; Ketua Pegawai Integriti dan Tadbir Urus, Encik Dzahidi Mohamad; Ketua Hubungan Perusahaan dan Tatakelola Bakat Kumpulan, Encik Ahmad Addlan Nabil; Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan, Puan Adzamimah Adzmi serta pegawai integriti Affin Bank.
Dalam sesi berkenaan, Encik Dzahidi Mohamad berkongsi mengenai misi, visi, polisi serta pelaksanaan saluran pemberi maklumat di Affin Bank Group. Perkongsian tersebut memberikan gambaran praktikal kepada peserta mengenai pendekatan pengurusan polisi, pelaksanaan saluran pelaporan serta usaha membina keyakinan warga organisasi dan pemegang taruh terhadap mekanisme pemberi maklumat.
Pelaksanaan kursus dan sesi penandaarasan ini memberikan nilai tambah kepada usaha MACA dalam memperkukuh pengetahuan dan kemahiran pegawai SPRM selaku tenaga pengajar Program CeIO. Pengetahuan serta amalan yang diperoleh diharap dapat diterjemahkan melalui penyampaian pengajaran dan bahan pembelajaran yang tepat, terkini serta bersesuaian, sekali gus menyokong usaha melahirkan pegawai integriti yang kompeten dalam memperkukuh agenda integriti dan antirasuah dalam organisasi.