Logo

SPRM PERKASA KEPIMPINAN, INTEGRITI PEGAWAI


16-10-2026

Kuala Lumpur, 7 September – Kursus Peralihan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Gred P9 Siri 10 Bil. 2/2026 menjadi platform penting dalam mempersiapkan pegawai untuk beralih daripada peranan sebagai pelaksana utama operasi kepada pemimpin, pengurus, perancang strategi dan pembuat keputusan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi berkata, peralihan ke Gred P9 bukan sekadar perubahan skim perkhidmatan, sebaliknya membawa perubahan dari segi peranan, pemikiran dan tanggungjawab pegawai.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Kursus Peralihan Penguasa SPRM Gred P9 Siri 10 Bil. 2/2026 di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurutnya, kursus itu dirangka sebagai persediaan menyeluruh bagi memastikan pegawai yang dilantik ke Gred P9 mempunyai kesiapsiagaan dari aspek mental dan emosi, ilmu pengurusan serta kepimpinan, selain kekuatan nilai dan jati diri.

“SPRM bukan sahaja memerlukan kekuatan dari aspek kuasa undang-undang, malah perlu diperkukuh dengan kepimpinan strategik, keupayaan membuat keputusan berimpak tinggi serta integriti yang tidak boleh dirunding,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaan kursus adalah berdasarkan tiga paksi utama iaitu kepimpinan berwibawa, pengurusan strategik dan pembudayaan integriti.

Beliau berharap para peserta memanfaatkan sepenuhnya tempoh kursus dengan memberikan komitmen tinggi, hadir dengan disiplin penuh, terlibat secara aktif dalam setiap sesi serta berani bertanya dan keluar daripada zon selesa.

“Jadikan kursus ini sebagai titik perubahan (turning point) dalam kerjaya dan benar-benar menjadi pemangkin kepada peningkatan kompetensi dan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Penguasa P9,” katanya.

Kursus berkenaan dilaksanakan oleh MACA menerusi Pusat Kecemerlangan Kepimpinan (MLEC) dan berlangsung selama 12 hari, bermula 7 hingga 18 September 2026.

Turut hadir Pengarah Kanan MACA Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Ketua MLEC, PKPj Sarimah Sulaiman.

#SPRMMalaysia

#BeraniDanRadikalPerangiRasuah

#taatsetia