Logo

KURSUS PERALIHAN PENGUASA SPRM PERKUKUH KOMPETENSI, KEPEMIMPINAN PEGAWAI GRED P9


19-10-2026

KURSUS PERALIHAN PENGUASA SPRM PERKUKUH KOMPETENSI, KEPEMIMPINAN PEGAWAI GRED P9

Kuala Lumpur, 22 September – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menerusi Pusat Kecemerlangan Kepimpinan SPRM (MLEC) telah melaksanakan Kursus Peralihan Penguasa SPRM Gred P9 Siri 10 Bil. 2/2026 yang berlangsung dari 7 hingga 18 September 2026, melibatkan seramai 30 pegawai SPRM dari seluruh Malaysia.

Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan dan Korporat MACA, KPKPj Shahrul Nizar Mohd Shariff, di Dewan Tun Dr. Ismail, MACA pada 18 September 2026 yang lalu. 

Kursus anjuran MLEC, yang diketuai oleh PKPj Sarimah Sulaiman ini merupakan platform pembangunan kompetensi bagi mempersiapkan pegawai yang dinaikkan pangkat untuk menggalas tanggungjawab, amanah dan peranan kepimpinan yang lebih besar dalam organisasi.

Dalam ucapan penutup, KPKPj Shahrul Nizar menegaskan bahawa kenaikan pangkat bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan, sebaliknya hadir bersama amanah, tanggungjawab dan akauntabiliti yang lebih besar. Sehubungan itu, para pegawai diingatkan agar sentiasa menjadi teladan kepada warga organisasi serta mempertahankan nilai integriti dalam setiap tindakan dan keputusan.

Beliau turut menyeru peserta agar menghayati dan mengamalkan nilai amanah, adil, tegas, tidak memihak, telus dan profesional dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Menurut beliau, kepercayaan perlu dibina melalui tindakan yang konsisten, keputusan yang adil, tutur kata yang berhemah serta keberanian untuk melakukan perkara yang benar.

Pada majlis tersebut, Pemangku Penguasa Ahmad Faiq Mustofa dari Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Ibu Pejabat SPRM telah diumumkan sebagai Penerima Anugerah Peserta Terbaik Kursus Peralihan Penguasa SPRM Gred P9 Siri 10 Bil. 2/2026.

Penganjuran kursus ini diharapkan dapat memperkukuh kesiapsiagaan pegawai dalam menggalas tanggungjawab kepimpinan, di samping melahirkan barisan pegawai SPRM yang berpengetahuan, berkeyakinan dan matang dalam membuat keputusan, serta sentiasa menjunjung tinggi nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab kepada organisasi, masyarakat dan negara.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Kecemerlangàn dan Profesionalisme SPRM, KPKPj Syed Mohd Termize Syed Musa, Barisan Penceramah, Ketua-Ketua Pusat dan Sekolah , Pegawai-Pegawai Kanan serta Pegawai-Pegawai SPRM.

#maca

#SPRMMalaysia

#BeraniDanRadikalPerangiRasuah