Logo

MACA TEROKA KERJASAMA STRATEGIK DENGAN PANTEION UNIVERSITY ATHENS


19-10-2026

MACA TEROKA KERJASAMA STRATEGIK DENGAN PANTEION UNIVERSITY ATHENS

Kuala Lumpur, 22 September – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) meneroka kerjasama strategik bersama European University Center for Crime and Justice (EUROCRIM), Panteion University of Athens, Greece bagi memperkukuh agenda pendidikan antirasuah serta meneroka amalan terbaik antarabangsa dalam bidang pencegahan rasuah, undang-undang dan jenayah kewangan.

Kerjasama tersebut dibincangkan menerusi Kunjungan Hormat Professor Dimitris Ziouvas, Director of the European University Center for Crime and Justice, Panteion University of Athens ke MACA, hari ini.

Sesi kunjungan hormat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan dan Korporat MACA, KPKPj Shahrul Nizar Mohd Shariff, turut menjadi platform untuk membincangkan potensi kolaborasi antara kedua-dua institusi, khususnya dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan kompetensi antirasuah selaras dengan keperluan serta cabaran global semasa.

Professor Dimitris Ziouvas turut menyambut baik hasrat MACA untuk menaiktaraf menjadi pusat pendidikan bertaraf universiti yang memberikan fokus kepada bidang penguatkuasaan, undang-undang, antirasuah dan jenayah kewangan. 

Beliau turut mencadangkan agar MACA dan EUROCRIM meneroka penganjuran latihan bersama yang memberi tumpuan kepada bidang kepakaran semasa, termasuk kecerdasan buatan (AI), jenayah siber, mata wang kripto, undang-undang, jenayah kewangan serta pencegahan pengubahan wang haram (AML).

Dalam pada itu, Professor Dimitris Ziouvas turut menyatakan kesediaan pihaknya untuk menerima kunjungan penanda aras daripada MACA ke Panteion University of Athens dan EUROCRIM bagi memberi peluang kepada MACA meninjau pendekatan pendidikan, struktur akademik serta amalan terbaik yang dilaksanakan oleh institusi berkenaan.

Selain itu, Professor Dimitris Ziouvas turut mencadangkan agar MACA meneroka pembangunan program akademik berakreditasi dengan kerjasama institusi pengajian tinggi di Malta, yang berpotensi memperoleh pengiktirafan di peringkat Eropah.

Cadangan tersebut membuka ruang kepada MACA untuk meneroka laluan pengantarabangsaan program akademik serta memperluas jaringan kerjasama pendidikan pada masa hadapan.

Pengerusi Global Integrated Anti-Corruption Consultancy Sdn. Bhd. (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, turut menyambut baik aspirasi MACA ke arah pembangunan institusi pendidikan bertaraf universiti. 

Beliau berpandangan bahawa usaha tersebut memerlukan persediaan yang menyeluruh, termasuk pembangunan kumpulan pakar dan pensyarah (pool of experts and lecturers) yang kukuh bagi menyokong keperluan akademik serta pembangunan institusi.

Sehubungan itu, Tan Sri Abu Kassim turut mencadangkan agar MACA meneroka usaha menghimpunkan kepakaran dalam kalangan negara ASEAN bagi membentuk jaringan pakar serantau yang dapat menyokong pembangunan kapasiti, pengajaran, penyelidikan serta perkongsian ilmu dalam bidang antirasuah dan jenayah kewangan.

Kunjungan hormat pada hari ini menjadi sebahagian daripada usaha pelaksanaan penanda aras (benchmarking) di peringkat antarabangsa terhadap akademi atau institusi pendidikan yang memberi fokus kepada bidang antirasuah, undang-undang dan jenayah kewangan, selaras dengan keperluan serta arahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman.

Hadir sama Ms Chrysa Pagonaki; Ahli Lembaga Pengarah GIACC, Dato’ Rohaizad Yaakob serta pegawai-pegawai kanan MACA.

#maca

#SPRMMalaysia

#BeraniDanRadikalPerangiRasuah