Logo

ARAHAN YAB PERDANA MENTERI SIRI 3 NO. 1 TAHUN 2026 PERKASA PROGRAM CEIO


19-10-2026

ARAHAN YAB PERDANA MENTERI SIRI 3 NO. 1 TAHUN 2026 PERKASA PROGRAM CeIO

Kuala Lumpur, 29 September – Arahan YAB Perdana Menteri Siri 3 No.1 Tahun 2026 Pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) telah diluncurkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato' Dr. Johari Abdul yang mewakili mewakili YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 September 2026 yang lalu. 

Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah berkuat kuasa sejak 28 Februari 2011 melalui Arahan YAB Perdana Menteri Siri 1 No. 1 Tahun 2011 sebagai antara inisiatif Kerajaan dalam memperkasakan nilai integriti dan akauntabiliti di peringkat organisasi.

Dalam usaha meningkatkan kualiti dan keberkesanan pelaksanaan Program CeIO, MACA telah mengkaji semula arahan terdahulu dan menyediakan arahan baharu bagi menggantikan pelaksanaan di bawah Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional – Penubuhan Jawatankuasa Tatakelola (JTK).

Arahan YAB Perdana Menteri Siri 3 No. 1 Tahun 2026 yang ditandatangani oleh YAB Perdana Menteri pada 6 Julai 2026 merupakan langkah penting dalam memperkukuh keberkesanan Program CeIO sebagai mekanisme pemantapan tatakelola, integriti dan pencegahan rasuah, selaras dengan usaha Kerajaan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan swasta.

Arahan baharu tersebut memberi penekanan kepada beberapa penambahbaikan utama antaranya memperkasa peranan Ketua Setiausaha Negara (KSN), memperluas penyertaan kepada syarikat swasta, memperluas kumpulan sasaran kepada golongan pelaksana yang menjalankan fungsi Unit Integriti (UI) dan Unit Integriti dan Governans (IGU), memperhalusi syarat pentauliahan serta tempoh pelanjutan pentauliahan, selain menambah baik aspek pelantikan, keanggotaan, fungsi dan kuasa Lembaga Pentauliahan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB) serta Jawatankuasa Tetap Program Pegawai Integriti Bertauliah (JTPPIB).

Selain itu, arahan tersebut turut menekankan peranan dan tanggungjawab Ketua Jabatan dalam menyokong pelaksanaan Program CeIO bagi memastikan pegawai yang ditauliahkan dapat melaksanakan peranan dengan lebih berkesan sebagai agen perubahan dan pemangkin kepada pembudayaan integriti serta tatakelola yang baik dalam organisasi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman turut menegaskan bahawa pemerkasaan Program CeIO akan terus memperkukuh peranan CeIO sebagai agen perubahan dalam menyokong usaha pencegahan rasuah dan salah guna kuasa. 

Kejayaan pelaksanaan arahan tersebut, katanya, memerlukan komitmen serta sokongan berterusan daripada Ketua Jabatan, Ketua Pegawai Eksekutif dan semua pihak berkepentingan.

Pemerkasaan Program CeIO melalui arahan baharu ini diharap dapat memperkukuh ekosistem integriti dan tatakelola organisasi, di samping memperkasakan peranan CeIO dalam menyokong usaha pencegahan rasuah secara lebih berkesan dan berterusan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Azmi Kamaruzaman, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) SPRM, Dato' Indera Junipah Wandi; dan Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM, Datuk Idris Zaharudin, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-ketua Jabatan, serta Pengarah Kanan, Pengarah-pengarah Bahagian SPRM dan Negeri.

#maca

#SPRMMalaysia

#BeraniDanRadikalPerangiRasuah

#CeIO