PENGARAH KANAN MACA KETENGAHKAN PENGAJARAN KES 1MDB DALAM FORUM "MALAYSIA BERSIH BERMULA DENGAN INTEGRITI”
15-10-2026
PENGARAH KANAN MACA KETENGAHKAN PENGAJARAN KES 1MDB DALAM FORUM "MALAYSIA BERSIH BERMULA DENGAN INTEGRITI”
Kuala Lumpur, 19 Ogos – Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin, tampil sebagai salah seorang ahli panel dalam Forum “Malaysia Bersih Bermula dengan Integriti” sempena Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSMNC) 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, di sini, hari ini.
Forum yang dikendalikan oleh Vickram Ragunath, Pegawai Program Kebangsaan, Antirasuah, Pejabat Program Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) Malaysia turut menampilkan Cynthia Gabriel, Pakar Antirasuah dan Pengasas serta Pengarah C4 Center Malaysia serta Datin Yasmin Ahmad Merican, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam sesi berkenaan, Dato’ Mohamad Zamri berkongsi perspektif dan pengalaman berkaitan kes 1MDB, khususnya dalam aspek tadbir urus, integriti, penguatkuasaan serta kepentingan memperkukuh mekanisme pencegahan rasuah.
Perkongsian beliau turut menyentuh kepentingan memastikan mekanisme pencegahan, pengesanan dan tindakan terhadap salah laku dilaksanakan secara berkesan, di samping menekankan peranan kepimpinan dalam membudayakan integriti serta memastikan setiap keputusan organisasi dibuat secara telus, bertanggungjawab dan berlandaskan prinsip akauntabiliti.
Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan bahawa sektor korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengambil iktibar daripada kes tersebut dengan memperkukuh kawalan dalaman, melaksanakan proses penilaian wajar (due diligence) terhadap pihak berkepentingan dan rakan niaga, mengenal pasti risiko rasuah serta memastikan sebarang transaksi dan keputusan perniagaan dilaksanakan secara telus dan berakauntabiliti.
Langkah-langkah tersebut penting bagi memastikan risiko salah laku dapat dikenal pasti lebih awal serta mencegah organisasi daripada terdedah kepada aktiviti rasuah dan penyelewengan.
Penglibatan MACA dalam forum ini mencerminkan komitmen SPRM dan MACA untuk terus memperkukuh agenda pencegahan rasuah, pembangunan kapasiti dan pemerkasaan integriti melalui perkongsian kepakaran di peringkat nasional dan antarabangsa.
#maca
#SPRMMalaysia
#BeraniDanRadikalPerangiRasuah