Logo

CEIO MENJADI MATA, TELINGA DAN SUARA INTEGRITI: PERKUKUH AGENDA ANTIRASUAH


15-10-2026

CeIO MENJADI MATA, TELINGA DAN SUARA INTEGRITI: PERKUKUH AGENDA ANTIRASUAH

Kuala Lumpur, 21 Ogos – Setiap CeIO perlu berperanan sebagai mata dan telinga organisasi dengan sentiasa peka terhadap risiko rasuah, salah laku serta kelemahan tadbir urus yang berpotensi menjejaskan organisasi.

Ketua Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC),Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) PKPj R. Malarvili a/p Ramachandran berkata para peserta diseru untuk menjadi suara integriti yang berani menyuarakan perkara yang benar, bertindak berlandaskan prinsip serta menjadi contoh dan teladan dalam penerapan nilai-nilai integriti di tempat kerja.

Menurut beliau usaha membanteras rasuah bukan semata-mata tanggungjawab SPRM, sebaliknya memerlukan komitmen dan penglibatan semua pihak, khususnya sektor swasta yang mempunyai peranan penting dalam membentuk ekosistem perniagaan yang telus, berintegriti dan bebas daripada rasuah.

“Para peserta perlu terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dan agen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memperkukuh budaya integriti serta membanteras rasuah di organisasi masing-masing”, katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Sektor Swasta Siri 13 Bil. 1/2026 di Dewan Tun Ismail, MACA, di sini, semalam. 

Dalam konteks tersebut, pengukuhan budaya integriti dalam sektor swasta bukan sahaja dapat membantu mengurangkan risiko rasuah dan salah laku, malah mampu meningkatkan keyakinan pemegang taruh serta memperkukuh tadbir urus dan reputasi organisasi.

Para CeIO juga diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada penerapan amalan pencegahan rasuah secara lebih sistematik dan berterusan dalam organisasi masing-masing.

Dalam masa yang sama, beliau turut berkongsi perkembangan berkaitan Arahan YAB Perdana Menteri Siri 3 No. 1 Tahun 2026, yang menggantikan Arahan YAB Perdana Menteri Siri 1 No. 1 Tahun 2011 yang telah dimansuhkan dan mula berkuat kuasa pada 6 Julai 2026

Perkembangan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh agenda integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah di negara ini.

Kehadiran dan penglibatan seramai 45 orang peserta Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Sektor Swasta Siri 13 yang mewakili pelbagai organisasi ini diharapkan mampu memperkasakan peranan mereka sebagai pemimpin serta agen integriti yang berkesan di syarikat masing-masing. 

Ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program hendaklah diterjemahkan melalui tindakan, keberanian serta komitmen untuk menegakkan prinsip integriti dan melakukan perkara yang benar demi membina organisasi yang lebih telus, berakauntabiliti dan bebas rasuah.

#maca

#SPRMMalaysia

#BeraniDanRadikalPerangiRasuah