Logo

AI DAN RISIKO PENGURUSAN: PENDEKATAN BAHARU KEKANG RASUAH


16-10-2026

Putrajaya, 9 September - Teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu memperkukuh sistem integriti organisasi melalui keupayaan mengenal pasti ketidaknormalan, mengesan tanda amaran awal, menganalisis jumlah data yang besar serta menyokong pengurusan aduan, siasatan dan proses pematuhan.

Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, penggunaan teknologi perlu disertai nilai integriti yang kukuh kerana teknologi semata-mata tidak mampu membentuk integriti sesebuah organisasi.

“Teknologi boleh memperkukuh sistem integriti, namun teknologi tidak boleh mewujudkan integriti. Integriti pada asasnya bermula daripada nilai,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena AI-Driven Corporate Integrity Conference: From Detection to Prevention – Strengthening Integrity Through AI & Risk Management di The Everly Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, organisasi perlu memahami bahawa pematuhan tidak semestinya mencerminkan tahap integriti yang kukuh kerana sesebuah organisasi boleh memiliki polisi dan prosedur yang baik, namun masih mempunyai budaya integriti yang lemah.

Beliau berkata, pematuhan lebih menjurus kepada persoalan sama ada sesuatu peraturan dipatuhi, manakala integriti menuntut seseorang membuat keputusan yang betul dan beretika walaupun tanpa pengawasan.

Seminar anjuran Global Integrated Anti-Corruption Consultancy Sdn. Bhd. (GIACC) dengan kerjasama MACA sebagai penganjur bersama ini telah menarik penyertaan lebih daripada 300 peserta yang mewakili pelbagai sektor awam dan swasta.

Turut hadir, Pengerusi GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Abdul Karim Fakir Ali serta Ahli Lembaga Pengarah GIACC, Dato’ Seri Haji Mustafar Haji Ali.

#maca

#SPRMMalaysia

#BeraniDanRadikalPerangiRasua


  Muat turun dokumen PDF