MACA, IACA BINCANG KERJASAMA PERLUAS PROGRAM LATIHAN DAN CEIO KE PERINGKAT ANTARABANGSA
10-11-2026
Kuala Lumpur, 5 November – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menerima kunjungan hormat Drago Kos, Dekan International Anti-Corruption Academy (IACA), bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam memperluas pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) ke peringkat antarabangsa.
Perbincangan memberi tumpuan kepada pembangunan modul CeIO yang bersesuaian dengan keperluan antarabangsa, selain potensi penggunaan fasiliti latihan MACA sebagai lokasi penganjuran program IACA. Melalui kerjasama ini, IACA bersedia menyediakan tenaga pengajar dan penceramah, selain membantu mendapatkan penyertaan peserta dari negara-negara di rantau Asia Pasifik bagi menyokong pelaksanaan program berkenaan.
Menurut Timbalan Pengarah Pengurusan dan Korporat MACA, Tuan Shahrul Nizar Mohd Shariff, MACA bersedia memperkukuh kerjasama dengan IACA secara berterusan bagi membangunkan Program CeIO sebagai program latihan profesional yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, sekali gus memperluas peranan MACA dalam pembangunan kompetensi integriti dan antirasuah di peringkat global.
Dalam pertemuan tersebut, Drago Kos turut mengalu-alukan kunjungan pihak MACA ke Vienna, Austria, bagi membincangkan dengan lebih lanjut perancangan, pembangunan modul serta hala tuju pelaksanaan Program CeIO di peringkat antarabangsa.
Kunjungan ini membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk meneroka kerjasama yang lebih luas, khususnya dalam pembangunan latihan profesional, pertukaran kepakaran dan pengantarabangsaan program pendidikan integriti serta antirasuah.
MACA berharap pertemuan ini menjadi asas kepada hubungan kerjasama yang lebih erat dan berterusan bersama IACA, sekali gus membuka peluang memperluas penyertaan Program CeIO di peringkat antarabangsa serta memperkukuh peranan MACA sebagai institusi latihan antirasuah di peringkat serantau dan global.
Turut hadir Penasihat IACA, Tan Sri Abu Kassim Mohamed serta pegawai-pegawai kanan MACA.
#maca
#SPRMMalaysia
#BeraniDanRadikalPerangiRasuah