Logo

MACA, APN PERLUAS PERKONGSIAN KEPAKARAN DALAM PEMBANGUNAN LATIHAN


10-11-2026

MACA, APN PERLUAS PERKONGSIAN KEPAKARAN DALAM PEMBANGUNAN LATIHAN

Bangi, 6 November- Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) meneroka peluang kerjasama strategik dengan Akademi Perundangan Negara (APN) bagi memperkukuh pembangunan kompetensi perundangan, kepakaran tenaga pengajar dan latihan profesional menerusi kunjungan hormat serta lawatan penandaarasan strategik ke APN, hari ini.

Delegasi MACA diketuai oleh Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin dan disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) APN, Tuan Jailani bin Rahman, bersama barisan kepimpinan serta Pengarah-Pengarah Program APN.

Lawatan yang disertai lapan orang delegasi MACA ini bertujuan meneliti amalan APN dalam mengenal pasti keperluan latihan, merangka kurikulum, mengoptimumkan kaedah penyampaian serta mengukur keberkesanan program latihan. Aspek pengurusan tenaga pengajar dan jaringan kerjasama antara agensi turut menjadi fokus penandaarasan bagi mengenal pasti pendekatan yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan latihan MACA.

Antara perkara utama yang diketengahkan ialah potensi kerjasama dalam pembangunan kursus Certified Prosecutor Officer, iaitu kursus baharu di bawah Sekolah Perundangan MACA. Dalam hal ini, APN menyatakan kesediaan untuk membantu mendapatkan tenaga pengajar yang mempunyai kredibiliti, pengalaman dan kepakaran bersesuaian bagi menyokong pelaksanaan kursus berkenaan.

Kerjasama turut merangkumi perkongsian sumber perundangan (legal resources) menerusi Law Library Group, pembangunan kursus kepimpinan yang memberi penekanan kepada kompetensi perundangan (Legal Competencies), serta pelaksanaan program latihan integriti termasuk Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) khusus untuk pegawai APN.

Selain itu, Program Green Harvest yang dilaksanakan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) turut dikongsikan sebagai amalan pembangunan bakat muda berpotensi tinggi melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi melahirkan pelapis berkualiti dan menyaring bakat baharu untuk menyertai perkhidmatan undang-undang kerajaan. APN memaklumkan bahawa terdapat pegawainya yang menyertai AGC menerusi pendekatan ini.

*Perkongsian tersebut membuka ruang kepada MACA untuk meneroka pendekatan seumpamanya bagi mengenal pasti dan membangunkan bakat berpotensi sebagai pelapis kepimpinan serta kepakaran masa hadapan SPRM.*

Dalam masa yang sama juga, Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) APN, Tuan Jailani Rahman menyambut baik hasrat MACA untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi. 

Menurut beliau, APN bersedia berkolaborasi dalam pembangunan latihan serta perkongsian kepakaran dan pengalaman, selaras dengan pendekatan Blue Ocean Strategy (Strategi Lautan Biru) dalam perkhidmatan awam di Malaysia. Kerjasama ini dilihat berpotensi mewujudkan sinergi kepakaran yang dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua institusi dalam memperkukuh pembangunan kompetensi pegawai.

Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin, menegaskan bahawa pembangunan latihan tidak hanya terbatas kepada penyampaian ilmu dan pengetahuan semata-mata, sebaliknya perlu menghasilkan peningkatan kompetensi, profesionalisme serta keupayaan pegawai untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Sehubungan itu, beliau melihat hubungan kerjasama dengan APN sebagai peluang strategik untuk menggabungkan kepakaran kedua-dua institusi, khususnya dalam memperkukuh dimensi perundangan, kepimpinan dan integriti dalam pembangunan profesional pegawai.

Potensi kerjasama ini penting bagi memastikan pembangunan latihan dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar organisasi, disokong oleh tenaga pengajar yang berkelayakan serta kepakaran perundangan yang relevan.

MACA berharap hasil penandaarasan ini dapat diterjemahkan kepada inisiatif kerjasama yang lebih konkrit, khususnya dalam pembangunan kursus, perkongsian tenaga pengajar, sumber perundangan dan penerokaan pendekatan pembangunan bakat. Usaha ini sekali gus dapat memperkukuh keupayaan MACA sebagai institusi pembangunan kompetensi pegawai SPRM yang profesional, berintegriti dan berpengetahuan dalam bidang perundangan serta penguatkuasaan.