INTEGRITI BUKAN SEKADAR KATA, TANGGUNGJAWAB BERSAMA
05-11-2026
Kuala Lumpur, 3 November – Integriti perlu diterjemahkan melalui setiap tindakan dan keputusan bagi memastikan organisasi terus dipercayai, cekap dan berwibawa.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, integriti perlu menjadi amalan bersama dalam membentuk budaya kerja yang telus, bertanggungjawab dan bebas daripada amalan pilih kasih.
“Justeru, saya berharap sambutan hari ini menjadi peringatan kepada kita semua bahawa integriti bukan hanya untuk diperkatakan, tetapi perlu diamalkan dalam setiap tindakan dan keputusan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Sambutan Hari Integriti Nasional Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) 2026 yang bertemakan “Integriti Kita Nilai Kita” di MACA, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Sambutan berkenaan turut diserikan dengan gimik khas yang menampilkan Terjunan Integriti menerusi pesawat EC725 AP, hasil kerjasama strategik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Markas Pemerintahan Operasi Udara, Markas Rejimen TUDM, Pangkalan Udara Jugra, Selangor, Pasukan Khas TUDM serta No. 10 Skuadron.
Gimik tersebut turut disusuli penanaman benih integriti oleh Datuk Seri Abd Halim. Simbolik itu menggambarkan benih kecil yang berupaya tumbuh menjadi pohon teguh dan memberi manfaat, selari dengan nilai integriti yang perlu disemai, dipupuk serta diamalkan.
Datuk Seri Abd Halim berkata, kepimpinan organisasi perlu memainkan peranan sebagai teladan dalam membudayakan integriti, khususnya dengan memastikan setiap keputusan dibuat secara telus serta disokong akauntabiliti yang jelas.
Beliau turut menggariskan tiga perkara utama dalam memperkukuh budaya integriti, iaitu kepimpinan organisasi perlu menunjukkan teladan melalui ketelusan dan akauntabiliti; MACA dan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) meneruskan kerjasama dalam pembangunan kompetensi, perkongsian ilmu serta profesionalisme Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO); dan pegawai CeIO serta warga organisasi bertindak proaktif mengenal pasti risiko, mengemukakan penambahbaikan serta mempertahankan prinsip dan amanah.
Beliau menegaskan integriti bukan penghalang kepada kemajuan, sebaliknya menjadi asas bagi memastikan pembangunan dicapai dengan cara yang betul, penggunaan sumber secara bertanggungjawab serta kepercayaan masyarakat terhadap institusi negara terus dipelihara.
Beliau turut berharap sambutan berkenaan dapat dijadikan acara tahunan di MACA sebagai platform memperkukuh kesedaran dan penghayatan integriti dalam kalangan warga organisasi.
Sementara itu, Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata akademi itu telah melatih seramai 3,333 peserta menerusi program CeIO, melibatkan 1,787 peserta sektor awam, 632 daripada syarikat berkepentingan kerajaan (SBK), 507 sektor swasta, 311 pegawai SPRM dan 96 peserta antarabangsa.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan MACA dalam memperkukuh pembangunan profesional pegawai integriti serta meningkatkan keupayaan organisasi mengurus risiko rasuah, mempertingkat kawalan dalaman dan membudayakan etika.
Menurutnya, MACA turut merancang membangunkan program Certified Global Integrity Officer (CGIO) pada masa hadapan, tertakluk kepada pemuktamadan struktur program, kurikulum dan kelulusan berkaitan.
Dalam pada itu, Presiden ACeIO, Dato’ Ahmad Sabri Mohamed berkata pegawai integriti bukan sahaja bertanggungjawab memastikan pematuhan, malah berperanan membentuk organisasi yang beretika, berdaya tahan dan dipercayai.
Beliau berkata peranan itu perlu diperkukuh menerusi pendidikan integriti, pengurusan risiko rasuah serta pemantapan kawalan dalaman organisasi.
Pada majlis berkenaan, Datuk Seri Abd Halim turut mengadakan lawatan ke pondok pengawal keselamatan serta meninjau beberapa kemudahan MACA termasuk mahkamah simulasi (Moot Court) dan Bilik Temu Bual Video (Video Interviewing Room - VIR).
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKmR), Dato' Haji Adnan Abu Hassan; Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Datin Yasmin Ahmad Merican; Pengarah-pengarah Kanan dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM serta Ahli-ahli ACeIO.