Logo

MACA PERKUKUH KEUPAYAAN DIGITAL, KEKAL RELEVAN MENDEPANI CABARAN ANTIRASUAH


27-11-2026

Kuala Lumpur, 23 November– Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) terus memperkukuh usaha memperkasa agenda integriti dan pencegahan rasuah menerusi penerokaan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui Seminar From AI Awareness to AI-Driven Governance: Advancing Sustainable Integrity, Anti-Corruption and Risk Management pada 23 hingga 24 November 2026 di Asia School of Business (ASB), Kuala Lumpur.

Seminar yang merupakan kerjasama strategik antara MACA dengan Global Integrated Anti-Corruption Consultancy (Malaysia) ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan keupayaan peserta dalam memanfaatkan AI sebagai instrumen strategik bagi mempertingkat tadbir urus, memperkukuh integriti serta memperkasakan usaha pencegahan rasuah. Inisiatif ini juga mencerminkan keperluan untuk menyesuaikan pendekatan pengurusan dan pencegahan rasuah dengan cabaran baharu yang semakin kompleks dalam era pendigitalan.

Majlis perasmian seminar telah disempurnakan oleh Menteri Digital Malaysia, YB Tuan Gobind Singh Deo. Turut hadir ialah Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Gobind Singh Deo menekankan kepentingan membina budaya penggunaan AI yang bertanggungjawab, beretika dan berintegriti bagi memastikan kemajuan teknologi dapat dimanfaatkan secara optimum. 

Beliau turut menegaskan bahawa pembudayaan penggunaan AI secara bertanggungjawab perlu melengkapi undang-undang dan dasar sedia ada, sekali gus memastikan pembangunan serta penggunaannya dilaksanakan secara terkawal, selamat dan selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh daya saing dalam ekonomi digital.

Selaras dengan penekanan tersebut, pengisian seminar memberi tumpuan kepada aplikasi AI dalam memperkukuh mekanisme pengesanan dan pencegahan rasuah. Antara aspek yang diketengahkan termasuk penggunaan Open-Source Intelligence (OSINT) bagi mengenal pasti pemilikan benefisial (beneficial ownership), konflik kepentingan serta petunjuk risiko dalam proses perolehan. Perbincangan turut merangkumi pendigitalan pengurusan integriti melalui penyelesaian berasaskan AI bagi meningkatkan kecekapan analisis, pemantauan dan pengurusan risiko.

Bagi MACA, pendedahan terhadap perkembangan dan aplikasi teknologi ini penting dalam memastikan pembangunan kompetensi pegawai kekal relevan dengan keperluan semasa. Sehubungan itu, seramai enam pegawai MACA turut menyertai seminar ini bagi meningkatkan pengetahuan serta keupayaan mengaplikasikan AI secara strategik dan bertanggungjawab dalam pelaksanaan fungsi organisasi.

Kerjasama strategik MACA dan GIACC ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perkongsian kepakaran serta penerokaan pendekatan baharu dalam pembangunan latihan dan pencegahan rasuah. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi MACA untuk terus bergerak seiring kemajuan teknologi, sekali gus melahirkan warga kerja yang berpengetahuan, kompeten dan bersedia mendepani cabaran antirasuah masa hadapan melalui tadbir urus yang berintegriti, inovatif dan mampan.