MACA, PNM TEROKA KERJASAMA STRATEGIK PERLUAS AKSES BAHAN RUJUKAN ANTIRASUAH
18-11-2026
Kuala Lumpur, 17 November – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) mengadakan kunjungan hormat dan lawatan penandaarasan ke Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) hari ini bagi meneroka potensi kerjasama dalam memperkukuh pengurusan perpustakaan serta memperluas akses kepada bahan rujukan berkaitan rasuah dan pencegahan rasuah.
Delegasi MACA diketuai oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan dan Korporat), Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Shahrul Nizar bin Mohd Shariff, manakala PNM diwakili oleh Pengarah Perkhidmatan Korporat,Mohd Azmi Abd Aziz.
Kunjungan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 5, Anjung Bestari itu memberi tumpuan kepada potensi kerjasama antara Perpustakaan MACA dengan PNM melalui integrasi Online Public Access Catalogue (OPAC) serta akses kepada sistem perpustakaan bagi memudahkan pencarian dan perkongsian sumber rujukan.
MACA mempunyai pelbagai koleksi bahan rujukan berkaitan rasuah, pencegahan rasuah dan bidang berkaitan yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan pembelajaran, penyelidikan serta pembangunan ilmu. Walau bagaimanapun, akses kepada koleksi tersebut pada masa ini masih terhad kepada kumpulan pengguna tertentu.
Sehubungan itu, kerjasama dengan PNM dilihat berpotensi membuka peluang kepada MACA untuk memanfaatkan infrastruktur digital dan rangkaian perpustakaan kebangsaan bagi memperluas capaian kepada koleksi bahan ilmiah serta meningkatkan penggunaan sumber rujukan sedia ada.
MACA turut menyatakan hasrat untuk meneroka potensi integrasi sistem perpustakaannya dengan platform u-Pustaka, yang menyediakan akses percuma selama 24 jam kepada ribuan bahan bacaan digital dan fizikal di seluruh Malaysia.
Inisiatif ini berpotensi memperluas capaian warga SPRM kepada sumber ilmu dan bahan rujukan berkaitan rasuah serta pencegahan rasuah, sekali gus menyokong pembelajaran dan penyelidikan secara lebih meluas.
Dalam pertemuan tersebut, pihak PNM turut menyatakan komitmen dan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama dengan MACA, khususnya dalam meneroka peluang perkongsian sumber maklumat, kepakaran serta penggunaan kemudahan dan infrastruktur perpustakaan digital. Komitmen ini membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk memperkukuh jaringan kerjasama dalam pengurusan ilmu dan penyediaan akses kepada sumber rujukan yang lebih luas.
Sesi kunjungan hormat ini diakhiri dengan sesi lawatan ke Imersif Anjung Bestari bagi memberikan pendedahan kepada delegasi MACA mengenai kemudahan dan pendekatan penyampaian maklumat secara interaktif yang disediakan oleh PNM.
Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh ekosistem pengurusan ilmu MACA, memperluas akses kepada bahan rujukan berkaitan antirasuah serta menyokong usaha pendidikan, penyelidikan dan pembangunan kompetensi warga SPRM.