Logo

MACA PERKUKUH KEPIMPINAN, INTEGRITI DAN KEPERCAYAAN MELALUI PROGRAM LEADERSHIP, INTEGRITY AND TRUST


27-11-2026

Kuala Lumpur, 26 November – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah menganjurkan Program Leadership, Integrity & Trust pada 23 hingga 25 November 2026 bertempat di Wyndham Acmar Hotel, Klang, Selangor, sebagai usaha memperkukuh kepimpinan, integriti dan kepercayaan dalam kalangan warga MACA bagi mendukung aspirasi institusi antirasuah yang cemerlang.

Program ini bertujuan melahirkan pemimpin dan warga kerja MACA yang berintegriti, berwibawa serta dipercayai, di samping memperkukuh kesepaduan warga dalam mendukung visi, misi dan hala tuju strategik akademi.

Dalam ucapan perasmian program, Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin menegaskan bahawa setiap inisiatif yang dirancang perlu diberikan perhatian serius, khususnya dari aspek kemajuan pelaksanaan (progress), pemilik inisiatif (initiative owner), tempoh masa, output, outcome serta indikator keberhasilan bagi memastikan pelaksanaannya dapat dipantau dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Beliau turut menekankan bahawa setiap warga MACA perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan inisiatif di bawah tanggungjawab masing-masing dilaksanakan mengikut perancangan. Sebarang kekangan atau cabaran perlu dikenal pasti lebih awal dan disertakan dengan cadangan penyelesaian yang bersifat konstruktif bagi memastikan pelaksanaan inisiatif tidak terjejas.

Pengisian pada hari pertama program merangkumi English Assessment, taklimat berkaitan Pelan Strategik MACA serta Kerangka Pembangunan Kompetensi Kepimpinan SPRM yang memberi penekanan kepada pembangunan kompetensi, perancangan strategik dan pengukuhan kepimpinan dalam organisasi.

Pada hari kedua, program diteruskan dengan sesi Perbincangan Meja Bulat yang melibatkan beberapa sesi perbincangan bagi meneliti penambahbaikan, perancangan serta pendekatan strategik dalam merealisasikan Aspirasi dan Hala Tuju Strategik MACA 2027–2031. Sesi ini menjadi platform untuk warga MACA dan pihak yang terlibat berkongsi pandangan, mengenal pasti keutamaan serta memperkukuh komitmen terhadap pelaksanaan agenda strategik akademi.

Selain itu, peserta turut mengikuti ceramah bertajuk Kepimpinan Melangkaui Jawatan: Memimpin Diri dan Membina Kepercayaan yang disampaikan oleh Akmal Ariff Zainul Ariff dari Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Ceramah ini memberi penekanan kepada kepentingan kepimpinan kendiri, pembentukan karakter serta keupayaan membina kepercayaan sebagai asas kepimpinan yang berkesan.

Program turut diselitkan dengan ceramah Pemakanan Sihat yang disampaikan oleh Vinodhini Siva Balan dari Pejabat Kesihatan Klang serta ceramah Kekeluargaan oleh kaunselor berdaftar, Norafiza Mohd Noor, sebagai usaha meningkatkan kesedaran warga MACA terhadap kesejahteraan diri, kesihatan dan keseimbangan kehidupan serta kerjaya.

Sebagai penutup pengisian hari kedua, Majlis Makan Malam Gala turut diadakan bagi menghargai warga MACA serta meraikan pencapaian dan sumbangan mereka kepada akademi. Majlis turut diserikan dengan penyampaian anugerah kepada warga MACA yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, komitmen dan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas. 

Majlis Makan Malam ini turut dihadiri Pengarah SPRM Selangor, TPj Mohd Azwan Ramli, wakil Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO), Pertubuhan Integriti dan Antirasuah Malaysia (INTRAS); Persatuan Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (PBPSPRM), Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR) dan Ketua Unit Integriti, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS. 

Program Leadership, Integrity & Trust ini diharap dapat memperkukuh budaya kepimpinan berintegriti, meningkatkan kesepaduan warga serta menyemarakkan komitmen bersama dalam merealisasikan aspirasi dan hala tuju strategik MACA ke arah kecemerlangan yang berterusan.