Logo

KARNIVAL INTEGRITI MADANI: MASYARAKAT SETEMPAT SEBAGAI MATA DAN TELINGA AGENSI PENGUATKUASAAN DI SEMPADAN


07-10-2024

5 OKTOBER, PASIR MAS - Telah berlangsung Enhancing Integrity Project (EIP) dengan konsep Karnival Integriti Madani bertemakan "Memperkasa Integriti: Kepentingan Kawalan Keselamatan Sempadan" bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Pasir Mas, hari ini.

Program yang dianjurkan oleh 33 peserta Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 40 Bil. 4/2024 adalah bertujuan untuk memperluaskan mesej integriti serta peranan membanteras rasuah kepada agensi penguatkuasaan di sempadan dan masyarakat setempat.

Dalam Majlis Perasmian Penutup EIP CeIO Siri 40 itu, KPKPj Sofian Haroon, Timbalan Pengarah (Pengurusan Dan Korporat) Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta CeIO Siri 40 yang telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran dalam usaha untuk menjayakan EIP ini. 

"Saya difahamkan seramai 141 orang yang terdiri daripada anggota-anggota penguatkuasa yang bertugas di sempadan, ketua-ketua masyarakat dan pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara Pasir Mas telah dilibatkan sebagai “Integriti Champion” (IC) pada kali ini. Penglibatan IC ini diharap dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan kawalan sempadan dan pembudayaan integriti, di samping memupuk jalinan mesra dengan masyarakat."

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Unit Integriti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, RELA, Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Kolej Kemahiran Tinggi Mara Pasir Mas, pemimpin-pemimpin masyarakat dan semua pihak yang telah menjayakan program EIP ini.

Sepanjang program ini, telah berlangsung pelbagai acara bersama masyarakat Pasir Mas, antaranya; reruai pameran agensi kerajaan, gerai jualan, pertandingan menghias kek, sepak raga, bowling kelapa, melukis, mewarna, persembahan teater serta ceramah integriti yang disampaikan oleh PKPj Zakaria bin Taib, Timbalan Pengarah (Operasi), SPRM Kelantan.

Turut hadir menyerikan majlis ialah YBhg. Dato' Haji Mohd Aizuddin bin Mohd Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN dan KPKPj Zulkefle bin Abd Hamid, Ketua Unit Integriti Kementerian Dalam Negeri (KDN).