MACA, KEDUTAAN AMERIKA SYARIKAT PERKUKUH KERJASAMA DALAM LATIHAN DAN PEMBANGUNAN KAPASITI
19-08-2026
Kuala Lumpur, 12 Ogos-Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menerima kunjungan hormat daripada Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia pada 5 Ogos lalu sebagai usaha memperkukuh hubungan kerjasama sedia ada, di samping meneroka peluang baharu dalam bidang latihan dan pembangunan kapasiti penguatkuasaan.
Delegasi Kedutaan Amerika Syarikat diketuai oleh Penolong Pegawai Keselamatan Serantau, Tuffy Hughes, bersama Penyiasat Keselamatan Kanan, Ramakrishnan Visvalingam, Pejabat Keselamatan Serantau, Kedutaan Amerika Syarikat.
Dalam pertemuan tersebut, pihak MACA merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), khususnya dalam aspek latihan dan operasi.
Kerjasama yang terjalin sebelum ini dilihat sebagai satu platform penting dalam memperkukuh keupayaan pegawai SPRM serta meningkatkan perkongsian kepakaran antara kedua-dua pihak.
Kedutaan Amerika Syarikat turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha pembangunan kapasiti pegawai SPRM dan agensi penguatkuasaan undang-undang di Malaysia melalui perkongsian pengetahuan, kepakaran serta pendedahan kepada pendekatan dan kaedah terkini dalam penguatkuasaan.
Pengarah Kanan MACA, SPRM, Dato' Mohamad Zamri Zainul Abidin menyatakan keterbukaan dalam memberi komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama, khususnya dalam bidang latihan dan pembangunan kapasiti berkaitan penggunaan mata wang kripto sebagai medium dalam transaksi rasuah.
Antara bidang latihan yang dikenal pasti termasuk pendedahan kepada kaedah mengenal pasti, membekukan, menyita serta pemulihan aset wang kripto asset yang berkaitan dengan aktiviti rasuah dan salah guna kuasa.
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen MACA dalam memperkukuh jaringan kerjasama serta perkongsian kepakaran dalam bidang pencegahan rasuah dan penguatkuasaan di samping membuka ruang kepada pelaksanaan program latihan yang lebih strategik dan berimpak pada masa akan datang.
#maca
#SPRMMalaysia
#BeraniDanRadikalPerangiRasuah