MACA LAKSANA KURSUS PEMBANGUNAN PELAN ANTIRASUAH ORGANISASI (OACP) BERSAMA SABAH SOFTWOODS BERHAD
29-07-2026
Tawau, 24 Julai 2026 – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus komited memperkukuh agenda pembudayaan integriti dan tadbir urus organisasi melalui penganjuran Kursus Pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (Organisational Anti-Corruption Plan – OACP) bersama Sabah Softwoods Berhad yang berlangsung pada 21 hingga 24 Julai 2026 di Bilik Persidangan, Ibu Pejabat Sabah Softwoods Berhad, KM 44, Jalan Tawau-Kalabakan, Peti Surat 60966, 91019 Tawau, Sabah.
Kursus yang berlangsung selama empat hari ini telah menghimpunkan 41 orang peserta yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Softwoods Berhad, Datuk Dr. Haji Mohd. Daud bin Tampokong, barisan pengurusan tertinggi serta ketua-ketua setiap jabatan Sabah Softwoods Berhad. Penyertaan kepimpinan tertinggi organisasi ini membuktikan komitmen yang tinggi dalam memperkukuh budaya integriti, tadbir urus korporat dan usaha pencegahan rasuah secara menyeluruh di peringkat organisasi.
Kursus ini dirangka bagi memberikan pendedahan menyeluruh mengenai penyediaan, pembangunan dan pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) sebagai dokumen strategik dalam memperkukuh sistem tadbir urus, mengurus risiko rasuah serta meningkatkan tahap integriti dan akauntabiliti organisasi. Antara fokus utama kursus ialah proses pembangunan OACP yang merangkumi pembentukan jawatankuasa, analisis data, penyediaan pelan tindakan, kaedah Monitoring and Evaluation (M&E) serta pembangunan kerangka awal OACP.
Penganjuran kursus ini turut menyokong pelaksanaan Anti-Bribery Management System (ABMS) di Sabah Softwoods Berhad. Sebagai organisasi yang telah memperoleh pensijilan ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (ABMS), Sabah Softwoods Berhad sentiasa komited memperkukuh sistem pengurusan antirasuah melalui pelaksanaan inisiatif yang sistematik dan berterusan. Pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) merupakan kesinambungan kepada usaha memperkukuh tadbir urus, pengurusan risiko rasuah dan budaya integriti secara sistematik, mampan serta selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada konsep asas undang-undang dan dasar berkaitan pencegahan rasuah serta kaedah membangunkan inisiatif pencegahan rasuah yang bersesuaian mengikut fungsi dan keperluan organisasi. Kaedah pembelajaran dilaksanakan secara interaktif melalui sesi ceramah, latihan amali berkumpulan dan pembentangan kumpulan, sekali gus memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam situasi sebenar organisasi.
Bagi sesi latihan amali, peserta telah menggunakan Sistem CRIS OACP yang dibangunkan hasil kerjasama Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT), Ibu Pejabat SPRM dan Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM), Ibu Pejabat SPRM. Melalui penggunaan sistem ini, setiap kumpulan telah melaksanakan proses pembangunan OACP secara praktikal bermula daripada mengenal pasti isu dan risiko rasuah, menganalisis punca risiko, mencadangkan inisiatif pencegahan serta menyediakan pelan tindakan yang bersesuaian mengikut fungsi jabatan masing-masing.
Kursus ini dikendalikan oleh PsK Abdul Rashid bin Omar daripada Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT), Ibu Pejabat SPRM selaku penceramah utama. Turut bertindak sebagai fasilitator ialah PPj Hamsia Binti Abdul Ham, PsK Safri bin Esen dan Ps Nooraizah binti Junid daripada Cawangan Penyiasatan Tatakelola (CPT), SPRM Sabah. Pengendalian Sistem CRIS OACP pula dibantu oleh Ps Mohammad Asyraf bin Saleh selaku fasilitator sistem.
Hasil daripada kursus ini, peserta telah berjaya menghasilkan kerangka awal Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang akan dijadikan asas kepada penyediaan dokumen OACP Sabah Softwoods Berhad. Selain itu, kursus ini turut meningkatkan kefahaman peserta mengenai konsep integriti dan tadbir urus, memperkukuh keupayaan mengenal pasti serta mengurus risiko rasuah, membangunkan inisiatif pencegahan yang bersesuaian dan menyediakan pelan tindakan yang komprehensif bagi memperkukuh sistem pengurusan antirasuah organisasi.
Pelaksanaan kursus ini turut memperkukuh komitmen pihak pengurusan tertinggi Sabah Softwoods Berhad dalam memperkasakan budaya integriti, meningkatkan pematuhan terhadap keperluan ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (ABMS) serta memastikan pelaksanaan OACP dapat dipantau dan dinilai secara berterusan melalui mekanisme Monitoring and Evaluation (M&E).
Penganjuran kursus ini membuktikan komitmen berterusan MACA dalam memperkasa organisasi sektor awam dan swasta melalui pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) sebagai instrumen strategik pencegahan rasuah. Kerjasama erat antara MACA dan Sabah Softwoods Berhad diharapkan dapat memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan kepercayaan pemegang taruh serta menyokong aspirasi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) ke arah pembentukan organisasi yang berintegriti, telus, berakauntabiliti dan bebas rasuah.