SPRM PERKASA KOMPETENSI PEGAWAI MELALUI LATIHAN LANJUTAN KECERDASAN BUATAN (AI)
29-07-2026
Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah berjaya menganjurkan Latihan Lanjutan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) untuk Pengurusan Kerja dan Penghasilan Kreatif untuk SPRM yang berlangsung selama lima hari bermula 20 hingga 24 Julai 2026 di Makmal Komputer, MACA.
Program yang disertai oleh 13 orang pegawai SPRM ini bertujuan meningkatkan kompetensi peserta dalam mengaplikasikan teknologi AI bagi memperkukuh pengurusan kerja, meningkatkan produktiviti serta menghasilkan kandungan komunikasi kreatif yang lebih berkualiti dan berimpak.
Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada pelbagai aplikasi AI terkini yang boleh dimanfaatkan dalam pengurusan maklumat dan dokumen, analisis data, penyediaan laporan, penghasilan bahan komunikasi, reka bentuk grafik, penyuntingan video serta pembangunan kandungan digital secara lebih efektif dan inovatif.
Latihan ini dikendalikan oleh Azizan Ruban daripada Persatuan Kreatif AI Malaysia (PeKA) yang berkongsi kepakaran dalam penggunaan teknologi AI serta membimbing peserta menguasai aplikasi AI bagi memperkukuh kecekapan pengurusan kerja, mempercepatkan penghasilan kandungan digital dan menyokong transformasi digital organisasi.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM melalui MACA dalam memperkasakan literasi digital dan memperluaskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan sebagai pemangkin transformasi organisasi.