Logo

CEIO DAN PEGAWAI UNIT INTEGRITI GALAS TANGGUNGJAWAB BESAR


24-11-2020

Bangi, 2 April – “Tanggungjawab besar perlu digalas sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dan Pegawai Unit Integriti (UI) di agensi dan kementerian masing-masing seiring dengan cabaran semasa yang semakin sukar dan memerlukan ketahanan diri yang tinggi”, demikian tegas Dato’ Haji Idris bin Zaharudin semasa merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 21 Bil. 1/2019 di Dewan Akasia, Ibu Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) disini, hari ini.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh seramai 274 pegawai dan kakitangan pelbagai agensi penguatkuasa seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Relawan Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perikanan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA).

”CeIO dan UI perlulah mematuhi 6 fungsi utama tugasan Unit Integriti iaitu pengukuhan integriti; pengurusan aduan; pengesanan dan pengesahan; tatatertib dan pematuhan; serta tadbir urus. Di samping itu, pelaporan aktiviti integriti di organisasi juga hendaklah dikemaskini secara berkala bagi memastikan Program CeIO kekal relevan dan berkesinambungan pada masa hadapan, selaras dengan perkara 6.3.3 Syarat Perlanjutan Pentauliahan dalam Arahan YAB Perdana Menteri Bil. 1 Tahun 2009, Siri 1 Bil. 1 Tahun 2011”, ujar beliau lagi.

Bagi menentukan kelancaran pelaksanaan Program CeIO, Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB) memainkan peranan penting untuk memilih, mentauliah atau membatalkan mana-mana calon mengikut syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan dalam Arahan YAB tersebut. LPPIB juga berfungsi untuk menentukan dasar bagi tujuan meningkatkan kredibiliti dan keberkesanan Program CeIO melalui modul pembelajaran yang telah dibangunkan khas untuk program CeIO iaitu Modul Pengukuhan Integriti; Penguatkuasaan Undang-Undang, pekeliling,peraturan,dan arahan; Pematuhan dan Pemantauan; dan Pembentukan Pelan Integriti melalui kaedah Corruption Risk Management.

Turut berlangsung ialah Seminar Kelestarian Integriti bertemakan “Penguatkuasa Berintegriti Negara Diberkati” yang menampilkan 3 Panelis iaitu Dato’ Muhammad Bukhari AB Hamid, Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP); Laksamana Muda Mohd Hatim bin Saad, Inspektor Jeneral Bahagian Inspektorat Angkatan Tentera Malaysia (ATM); serta Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifi Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan dan turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Sri Zulkifli bin Abdullah, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Dato’ Junipah binti Wandi Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM; dan Dato’ P.Ganason S.Periathamby, Ketua Pegawai Eksekutif ,Pusat Pematuhan Antirasuah Korporat, MACA.