SPRM-ELMU PERKUKUH AGENDA BANTERAS RASUAH BERTERASKAN AKADEMIK
27-04-2026
SPRM-ELMU PERKUKUH AGENDA BANTERAS RASUAH BERTERASKAN AKADEMIK
Nilai, 24 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalinkan kerjasama strategik bersama Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) dalam usaha memperkukuh agenda memerangi rasuah daripada aspek kepakaran operasi dan ekosistem latihan lebih tersusun berteraskan akademik.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, Program Latihan Asas Kadet Gred P9 (Penguasa SPRM) dan Gred P5 (Penolong Penguasa SPRM) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) diperkasakan menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) ini dengan pengukuhan elemen akademik yang diiktiraf serta selari dengan piawaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
"Struktur jam kredit pengajian terdiri daripada 60 peratus jam kredit di bawah pengajaran dan pembelajaran tinggi (PdT) oleh ELMU manakala 40 peratus jam kredit selebihnya PdT oleh MACA yang mencerminkan model kolaborasi seimbang antara kepakaran akademik dan pengalaman praktikal lapangan," katanya pada Majlis Menandatangani MoA antara SPRM dan ELMU di Kampus ELMU, Bandar Enstek di sini, hari ini.
Beliau berkata, latihan yang sebelum ini bersifat profesional diperkaya dengan nilai akademik diiktiraf, sekali gus meningkatkan kredibiliti dan penguasaan pemikiran kritikal, analisis berasaskan bukti serta keupayaan membuat keputusan yang lebih berstrategik dalam usaha pembanterasan jenayah rasuah secara menyeluruh.
Dalam pada itu, seramai 155 pegawai kadet Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 29 Bilangan 1/2026 (Penolong Penguasa Gred P5) telah melapor diri di MACA, Bandar Enstek pada 1 April lalu dan lanjutan daripada kursus asas tersebut, pegawai kadet akan mengikuti Pengajian Program Akademik di ELMU bermula 13 Mei 2026 hingga 12 Julai 2027.
"Tahniah diucapkan kepada pegawai-pegawai MACA/SPRM yang berjaya memperoleh Provisional Accreditation daripada MQA serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi kedua-dua program Graduate Diploma International Law Enforcement (GDILE-Level 6) dan Post-Graduate Diploma International Law Enforcement (PGDILE-Level 7) pada Ogos dan November 2025.
"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada aspirasi untuk melihat MACA berkembang sebagai hub pembelajaran berteraskan integriti unggul dan berpotensi menawarkan program pengajian yang diakreditasi oleh MQA, bukan sahaja kepada warga SPRM malah kepada pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor ELMU, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, ELMU melihat kerjasama ini sebagai inisiatif perintis yang signifikan dalam landskap pendidikan penguatkuasaan di negara ini.
"Pembangunan program latihan asas yang distrukturkan secara akademik bukan sahaja memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan malah berpotensi diangkat sebagai model rujukan nasional,” katanya.
Pada majlis menandatangani MoA itu, SPRM diwakili oleh Pemangku Pesuruhjaya, Dato' Mohd Hafaz Nazar manakala ELMU diwakili oleh Pengarah dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datin Noraini Aripin yang disaksikan Tan Sri Azam serta Pendaftar ELMU, Dato' Wan Adzman Wan Omar.
Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), SPRM Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Azmi Kamaruzaman serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Indera Junipah Wandi.
#SPRMMalaysia
#BeraniDanRadikalPerangiRasuah
#taatsetia