TAHAP DISIPLIN, INTEGRITI PESERTA PROGRAM CEIO PERLU KEKAL KOMPETEN
13-05-2026
Putrajaya, 12 Mei – Jawatankuasa Tetap Program Pegawai Integriti Bertauliah (JTPPIB) menegaskan bahawa syarat kehadiran minimum 80 peratus bagi Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu dipatuhi sepenuhnya dan tidak boleh dikompromi sebelum seseorang peserta dibenarkan menduduki penilaian pentauliahan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Indera Junipah Wandi merangkap Pengerusi JTPPIB berkata, pematuhan terhadap syarat kehadiran itu amat penting bagi memastikan peserta menunjukkan tahap komitmen tinggi sepanjang program serta benar-benar bersedia menggalas tanggungjawab sebagai pegawai integriti di organisasi masing-masing.
Beliau berkata, Ketua Jabatan bertanggungjawab dalam memastikan hanya pegawai yang bebas daripada rekod tatatertib serta mempunyai tahap integriti baik dicalonkan menyertai Program CeIO selaras dengan syarat permohonan ditetapkan di bawah Arahan YAB Perdana Menteri Siri 1 No. 1 Tahun 2011.
“Penegasan ini penting bagi memastikan imej, kredibiliti dan profesionalisme CeIO terus terpelihara memandangkan mereka merupakan individu yang menjadi rujukan utama organisasi dalam aspek integriti, pematuhan dan tadbir urus,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JTPPIB Siri 7 Bil. 1/2026 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.
Mesyuarat yang diurusetiakan oleh Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) itu turut membincangkan perkembangan modul Program CeIO yang telah ditambah baik dan diluluskan oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB), selain status pengemaskinian draf Arahan YAB Perdana Menteri baharu yang telah dipersetujui secara prinsip dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 12 Mac 2026.
Pada mesyuarat itu, Dato’ Indera Junipah turut merakamkan penghargaan kepada CIDC atas kejayaan penganjuran Majlis Konvokesyen CeIO Ke-12 yang berlangsung pada 14 April 2026 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC).
Seramai 486 pegawai daripada sektor awam, Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan swasta berjaya ditauliahkan melalui pelaksanaan 10 siri Program CeIO secara terbuka dan in-house.
Beliau berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan MACA melalui CIDC dalam melahirkan pegawai integriti yang kompeten serta berupaya memperkukuh sistem tadbir urus organisasi secara lebih berkesan.
Dalam memastikan kelangsungan program, CIDC turut diarahkan supaya pelaksanaan Program CeIO dilaksanakan secara lebih berhemah dan strategik dengan mengambil kira kekangan bajet semasa, langkah penjimatan serta Krisis Tenaga Global yang memberi kesan terhadap pengurusan kewangan dan operasi.
Katanya, pendekatan lebih kos efektif dan fleksibel dilihat penting bagi memastikan agenda pembangunan integriti negara dapat diteruskan tanpa menjejaskan kualiti serta keberkesanan pelaksanaan program.
Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional SPRM, Dato’ Idris Zaharudin; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Pengarah SPRM Kedah, Dato’ Nazli Rasyid Hj. Sulong; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, TPj Lim Bee Kean; Pengarah SPRM Kuala Lumpur, P/TPj Mohamad Zakkuan Talib; Timbalan Pengarah Akademik dan Latihan Asas MACA, KPKPj Mohd Saud Ayutollah Abdul Manan; Pesara SPRM, Datuk Izani Wan Ishak; Dato’ Ahmad Sabri Mohamed; Puan Zakiah Hassan; Tuan Mohammad Soib Abdullah serta urus setia CIDC MACA.
#macamacc
#SPRMMalaysia
#BeranidanRadikalPerangiRasuah