Logo

PENGARAH KANAN MACA JADI PANEL PERSIDANGAN ANTARABANGSA UNDANG-UNDANG TUANKU CANSELOR 2026


05-11-2026

Kuala Lumpur 31 Oktober – Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin, menyertai Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Tuanku Canselor 2026 (Tuanku Chancellor's Conference 2026 – TCC 2026) sebagai panel bagi sesi meja bulat (Round Table Session) yang berlangsung di Bangi Golf Resort Hotel, Bandar Baru Bangi, pada 28 Oktober 2026 lalu. 

Persidangan selama dua hari bermula 27 Oktober 2026 itu bertemakan “Kedaulatan Undang-Undang dan Tadbir Urus Baik di ASEAN dan Peringkat Antarabangsa” (Rule of Law and Good Governance in ASEAN and International Perspectives), menghimpunkan seramai 121 pembentang dari seluruh dunia serta menampilkan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, sebagai penyampai ucaptama.

Penyertaan Dato’ Mohamad Zamri sebagai panel mencerminkan penglibatan MACA dalam wacana akademik dan profesional berkaitan kedaulatan undang-undang serta tadbir urus baik, khususnya dari perspektif pencegahan rasuah dan pembangunan integriti.

Penglibatan ini turut membuka ruang perkongsian pandangan dan kepakaran berkaitan kepentingan integriti, akauntabiliti serta ketelusan dalam memperkukuh institusi dan membina kepercayaan masyarakat. Aspek tersebut merupakan elemen penting dalam memastikan prinsip kedaulatan undang-undang dan tadbir urus baik dapat diterapkan secara berkesan dalam organisasi.

Ia juga turut menjadi platform pertemuan dan pertukaran pandangan antara pengamal undang-undang, ahli akademik serta wakil agensi penguatkuasaan dalam membincangkan perkembangan dan cabaran berkaitan sistem perundangan serta tadbir urus di peringkat serantau dan antarabangsa.

Penyertaan pelbagai agensi berkaitan undang-undang dan penguatkuasaan, termasuk Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, turut memperlihatkan kepentingan kerjasama rentas agensi dalam memperkukuh kedaulatan undang-undang dan tadbir urus negara.

MACA komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama dengan institusi akademik dan agensi berkaitan, di samping memperkukuh perkongsian kepakaran serta pembangunan kompetensi bagi menyokong agenda pencegahan rasuah dan pembudayaan integriti di peringkat nasional dan antarabangsa.