MACA, UKM TEROKA KERJASAMA STRATEGIK PERKASA PENDIDIKAN ANTIRASUAH
05-11-2026
Kuala Lumpur, 31 Oktober – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang pendidikan antirasuah, penyelidikan, pembangunan kompetensi dan latihan profesional menerusi kunjungan hormat Pengarah Kanan MACA kepada Dekan Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC), UKM,Prof. Dr. Nazri Muslim, semalam.
Pertemuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat UKM-Graduate School of Business (UKM-GSB) itu menjadi platform untuk kedua-dua institusi membincangkan peluang memperkukuh hubungan kerjasama dalam menyokong agenda pencegahan rasuah negara melalui pendekatan pendidikan, penyelidikan berasaskan data dan pembangunan modal insan.
Dalam pertemuan tersebut, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin menekankan kepentingan memperkukuh pelaksanaan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) sebagai antara keutamaan akademi, termasuk melalui kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi. Sehubungan itu, MACA merancang untuk menganjurkan Persidangan KIAR dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada awal tahun 2027 sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam memperluas pendidikan antirasuah.
Beliau turut menekankan keperluan meningkatkan pemahaman mahasiswa terhadap kesalahan rasuah serta kepentingan menerapkan nilai integriti melalui pendekatan pendidikan yang lebih menyeluruh. Hal ini penting memandangkan rasuah bukan sahaja merupakan suatu jenayah, malah berupaya membuka ruang kepada pelbagai jenayah lain yang boleh mengancam keselamatan negara, selaras dengan prinsip “Corruption Enables Another Crime”.
Bagi memperluas skop kerjasama, MACA dan UKM turut meneroka potensi penyelidikan dalam bidang petunjuk tingkah laku (behavioural signs), kepimpinan (leadership) dan kemahiran insaniah (soft skills). Perkongsian data serta kepakaran akademik dilihat berpotensi menyokong pembangunan program yang lebih bersasar, di samping meningkatkan keberkesanan pelaksanaan fungsi siasatan dan pencegahan rasuah.
Antara inisiatif yang turut dibincangkan ialah penempatan latihan industri bagi pelajar prasiswazah di SPRM/MACA serta peluang penempatan penyelidikan untuk pelajar peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD). Inisiatif ini diharap dapat menggalakkan penghasilan kertas penyelidikan, tesis dan kajian yang berkaitan secara langsung dengan keperluan operasi serta bidang kepakaran SPRM.
Dalam usaha memperkukuh pelaksanaan KIAR, pihak UKM menyatakan kesediaan untuk melibatkan MACA dalam program Training of Trainers (TOT) KIAR sehingga ke peringkat Master Training. UKM turut menyokong usaha MACA untuk memusatkan dan menyelaras pelaksanaan TOT KIAR, selain bersetuju berkongsi Garis Panduan TOT KIAR 2026 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan garis panduan dan ketetapan berkaitan.
Kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama penyelidikan melalui mekanisme geran padanan (matching grant) serta cadangan pemberian sijil profesional kepada pemimpin pelajar yang menyertai program khas anjuran SPRM/MACA. Cadangan memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) antara SPRM dengan UKM turut diketengahkan bagi menyediakan kerangka kerjasama yang lebih tersusun dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan latihan.
Selain itu, Dato’ Zamri turut menyuarakan aspirasi untuk membangunkan MACA sebagai sebuah universiti. Aspirasi tersebut memerlukan sokongan dan kerjasama strategik institusi pengajian tinggi bagi memperkukuh keupayaan akademik, penyelidikan, latihan serta pembangunan profesional dalam bidang pencegahan rasuah.
Pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti alternatif bagi pelaksanaan program pengajian kadet SPRM dan MACA berharap UKM dapat mempertimbangkan pelaksanaan program pengajian berkenaan bermula dengan siri pengambilan kadet P9 pada Jun 2027.
Pihak UKM secara prinsipnya menyatakan kesediaan untuk membantu, tertakluk kepada penelitian dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dengan ELMU.
SPRM, khususnya MACA, berharap penerokaan kerjasama strategik dengan UKM dapat diteruskan dan diperkukuh bagi memperluas pendidikan antirasuah, meningkatkan keberkesanan penyelidikan serta melahirkan modal insan yang berintegriti dan profesional.
Hadir sama Timbalan Timbalan Pengarah Pengurusan dan Korporat MACA, KPKPj Shahrul Nizar Mohd Shariff, Timbalan Pengarah Akademik dan Latihan Asas, KPKPj Wong Yun Fui; Ketua Pusat Akademik MACA, PKPj Muhammad Hazlisyam Mukhtar, Ketua Pusat Pematuhan Anti Rasuah Korporat MACA, P/PPj Norwati Azmi dan PKPs Mohd Zamir Ahmad Zubid.