Logo

MACA TELITI POTENSI TEKNOLOGI PINTAR BAGI MEMPERKUKUH OPERASI DAN LATIHAN SPRM


05-11-2026

Kuala Lumpur, 31 Oktober – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menerima kunjungan delegasi daripada Pengerusi KEDACOM, Donggen Chen bagi memperkenalkan rangkaian produk dan penyelesaian teknologi yang berpotensi menyokong keperluan operasi serta latihan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini semalam. 

Dalam sesi tersebut, delegasi membentangkan beberapa penyelesaian teknologi, antaranya sistem pengesanan dan pemantauan dron, pengesanan serta penentuan lokasi isyarat radio, sistem pengesanan berasaskan radar dan optik-elektronik, selain teknologi gangguan isyarat dan manipulasi navigasi bagi menangani ancaman dron tanpa kebenaran.

Penyelesaian yang diperkenalkan turut menggabungkan fungsi pemantauan dan pengurusan berpusat bagi menyokong proses pengesanan, pengenalpastian serta tindak balas terhadap ancaman.

MACA melihat sesi perkongsian ini sebagai peluang untuk meneliti potensi aplikasi teknologi berkenaan dalam menyokong keperluan operasi SPRM, selain mengenal pasti ruang penambahbaikan terhadap kaedah latihan dan pembangunan kompetensi pegawai.

Selain teknologi antidrone, MACA turut memberi perhatian kepada perkembangan teknologi lain yang berpotensi dimanfaatkan dalam pemodenan latihan, khususnya kecerdasan buatan (AI) dan simulasi latihan menembak (combat training simulation).

Penerokaan teknologi ini berpotensi menyokong analisis maklumat, meningkatkan kesiapsiagaan pegawai dalam menghadapi pelbagai situasi serta menyediakan persekitaran latihan yang lebih interaktif, praktikal dan berasaskan senario.

Walau bagaimanapun, kesesuaian setiap penyelesaian teknologi perlu diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan sebenar organisasi, keberkesanan, aspek keselamatan, pematuhan kepada peraturan yang berkuat kuasa serta keupayaan integrasi dengan sistem sedia ada. Penilaian lanjut juga penting bagi memastikan sebarang penerokaan teknologi memberikan nilai tambah yang bersesuaian kepada organisasi.

Seiring dengan perkembangan teknologi digital, MACA komited untuk terus meneroka pendekatan inovatif dalam memperkukuh pembangunan kompetensi warga SPRM agar kekal relevan dengan perubahan landskap penguatkuasaan. Usaha ini turut menyokong aspirasi SPRM untuk meningkatkan keupayaan pegawai dalam mendepani cabaran penguatkuasaan dan pencegahan rasuah yang semakin kompleks.

Turut menyertai delegasi berkenaan ialah Pengarah Urusan SIBCO Group, Tuan Haji Khairul Mizam Ibrahim; Senior Economist, SIBCO, Adam Khairun; Pengurus Besar, KEDACOM Overseas Business Department, Haishui Zou;Pengarah, KEDACOM Homeland Security Division, Qian Yu; Fengguang Yang, Penasihat KEDACOM dan juga wakil Bahagian Perisikan SPRM