Logo

INTEGRITY CHAMPION SEBAGAI SURI TELADAN, PERKASAKAN INTEGRITI KOMUNITI SARAWAK


29-06-2024

INTEGRITY CHAMPION SEBAGAI SURI TELADAN, PERKASAKAN INTEGRITI KOMUNITI SARAWAK

29 JUN, LUNDU - Enhancing Integrity Project (EIP) dengan tema "Kelestarian Integriti Pemicu Masyarakat Makmur" telah berlangsung di Palm Beach Resort, Lundu, Sarawak, hari ini. Program tersebut merupakan salah satu tugasan wajib yang perlu dilengkapkan oleh peserta Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 38 Bilangan 2 Tahun 2024 - Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak.

Dalam ucapan aluannya, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), TPj Saiful Ezral Arifin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kesemua 41 peserta CEIO Siri 38 atas kejayaan melaksanakan EIP dalam masa yang singkat dengan baik pagi tadi.

"Penglibatan seramai lebih kurang 100 peserta Integrity Champion (IC) yang terdiri daripada pegawai kerajaan negeri, ahli majlis negeri, ketua-ketua kampung, ketua-ketua kaum dan pelajar-pelajar dari Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) dan penduduk setempat adalah amat bertepatan dengan wadah kerajaan dalam membudayakan serta memperkasakan nilai integriti dan tata kelola yang baik kepada masyarakat. Selain itu, program EIP ini juga menyediakan ruang untuk memberikan kesedaran dan pencerahan tentang salah laku integriti kepada IC dan seterusnya mengangkat mereka sebagai suri teladan dalam komuniti masing-masing."

Majlis Perasmian Penutup program EIP telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Murshid Diraja Datuk Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman). 

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa kerajaan Negeri Sarawak komited dan serius dalam membudayakan integriti dalam urus tadbir di peringkat Negeri atau Persekutuan termasuk Badan Berkanun Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan. Antaranya usaha agresif bagi mencapai matlamat tersebut adalah dengan menempatkan CeIO di agensi-agensi kerajaan Negeri Sarawak.

Turut hadir ialah wakil Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Tuan Wan Hipni Wan Mohd; wakil Pengarah SPRM Negeri Sarawak, PKPj Wan Ahmad Nidzam Wan Omar; Ketua Polis Daerah Lundu, DSP Damataries Lautin; dan wakil Pemangku Pegawai Daerah Lundu, Tuan Mohd Ameerul Roslan.


  Muat turun dokumen PDF