LESTARI INTEGRITI, HARMONI KOMUNITI: EIP BUKA RUANG KUPAS ISU INTEGRITI PENGURUSAN STRATA
25-08-2024
24 OGOS, DAMANSARA - Telah berlangsung Program Enhancing Integrity Project (EIP) dengan konsep "Projek Kelestarian Integriti Dalam Komuniti Strata" bertemakan "Lestari Integriti, Harmoni Komuniti" anjuran peserta Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 39 Bil. 3/2024 bertempat di Hotel Royale Chulan Damansara, hari ini.
Dalam Majlis Perasmian Penutup EIP itu, Yang Berusaha KPKPj Sofian Haroon, mewakili Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dalam ucapan aluannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta CeIO Siri 39 atas kejayaan melaksanakan EIP dalam tempoh masa yang singkat.
"Saya difahamkan seramai 201 Integrity Champion (IC) telah menyertai program kali ini yang terdiri daripada wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor, Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC) serta wakil komuniti yang lain. Saya percaya, proses untuk menjayakan program ini telah menguji kebolehan dan komitmen anda semua."
Beliau turut menyatakan bahawa penganjuran program EIP ini membuka ruang kepada pemegang taruh dan komuniti setempat untuk mengupas isu-isu dalam pengurusan strata serta memberi pemahaman kepada senario sebenar tentang isu dan permasalahan yang berlaku.
Majlis Perasmian Penutup EIP pula telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Tuan Haji Mohamad Zahri bin Haji Samingon.
Sebelum itu, telah berlangsung forum seiring tema "Lestari Integriti, Harmoni Komuniti" yang menampilkan tiga panel hebat dalam bidang masing-masing dan diikuti dengan sesi ceramah bertajuk "Pembudayaan Integriti Hiasi Peribadi" oleh Puan Nurhayati Nordin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters).
Turut hadir menyerikan majlis ialah Pengarah Pembangunan Integriti Komuniti, Institut Integriti Malaysia (IIM), Puan Zarina Binti Mohamad Amin; dan Pengarah Unit Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sr. Mohammad Syazwan bin Abdul Rasad.