Logo

77 PESERTA CEIO BAKAL DITAULIAH SEBAGAI PEGAWAI INTEGRITI BERTAULIAH BAHARU


28-08-2024

27 OGOS, CYBERJAYA – Peserta Program Pegawai Integriti Bertauliah Sektor Awam Siri 39 Bilangan 3 Tahun 2024 berjaya melaksanakan tugasan akhir dengan menganjurkan Seminar Kelestarian Integriti di Auditorium COE, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya.

Program CeIO Siri 39 yang melibatkan penyertaan seramai 77 pegawai sektor awam itu telah dilaksanakan selama 22 hari mulai 9 Julai 2024 dan berakhir hari ini.

Dalam ucapan pada Majlis Perasmian Penutup Program CeIO Siri 39, Pengarah Akademi Pencegahan Malaysia (MACA), YBhg. Datuk Saiful Ezral Arifin berkata, “Kesinambungan Program CeIO untuk sektor awam ini adalah relevan bagi membolehkan setiap Pegawai Integriti dalam jabatan dan agensi awam dilatih sebaik-baiknya untuk membantu jabatan dan agensi masing-masing mengesan risiko-risiko berlakunya rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan, di samping menguruskan aktiviti-aktiviti pengukuhan integriti dan pemantapan tatakelola yang bersesuaian.”

Menurut beliau lagi, keberadaan Pegawai Integriti Bertauliah di setiap jabatan dan agensi juga penting bagi memastikan agenda pembangunan negara ke arah Malaysia yang berintegriti dan bebas rasuah dapat dilaksanakan seiring dengan matlamat Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024 – 2028. 

Sehingga Julai 2024, seramai 2,265 orang CeIO yang terdiri daripada pegawai sektor awam, swasta dan GLC telah dilatih dan ditauliahkan dengan jayanya.

Dalam pada itu, Seminar Kelestarian Integriti yang berlangsung pada sebelah paginya yang diadakan dalam bentuk forum bertajuk “Kemajuan Digital dan Teknologi Mempengaruhi Integriti Keluarga” mengetengahkan tiga panel hebat, iaitu Dato' Sri Dr. Akhbar Satar, Presiden Integriti dan Governan Malaysia (MIG) dan Presiden Transparency International Malaysia; Profesor Madya Dr. Melati Sumari, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling Pendidikan, Jabatan Pendidikan UM; dan Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, Timbalan Pengarah Urusan MCMC.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Abdullah Sani Bin A. Latib, Ketua Jabatan Integriti Dan Tadbir Urus MCMC dan KPKPj Sofian Bin Haroon, Timbalan Pengarah (Pengurusan) MACA.